KWSP catat pendapatan pelaburan RM25 bilion, meningkat 27% bagi suku ketiga 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP catat pendapatan pelaburan RM25 bilion, meningkat 27% bagi suku ketiga 2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan 27% dalam pendapatan pelaburannya bagi suku ketiga yang berakhir 30 September 2025, meningkat kepada RM25.07 bilion berbanding RM19.67 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah pendapatan pelaburan KWSP meningkat 11% kepada RM63.99 bilion daripada RM57.57 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pertumbuhan ini disokong oleh strategi peruntukan aset yang dilaksanakan oleh KWSP, selain pertumbuhan 12% dalam aset di bawah pengurusan yang kini berjumlah RM1.37 trilion.

 

Beliau berkata, kekuatan ekonomi Malaysia menyokong 61% daripada portfolio KWSP manakala strategi pelaburan global pula menyumbang 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga.

 

“Walaupun prestasi sembilan bulan pertama menggalakkan, kami berhati-hati memasuki suku keempat kerana kenaikan penilaian pasaran ekuiti global dan isyarat bercampur daripada indikator ekonomi dunia mungkin menjejaskan kadar pengurangan faedah. 

 

“KWSP sedang menguruskan risiko ini dengan mengambil langkah untuk merealisasikan keuntungan dari pelaburan yang telah meningkat nilainya,” katanya.

 

Dalam suku ketiga ini, ekuiti kekal menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan, menjana RM16.95 bilion atau 68% daripada jumlah keseluruhan. 

 

Walaupun sedikit rendah berbanding RM18.35 bilion pada suku ketiga 2024, ia mencerminkan pemulihan daripada prestasi lebih sederhana pada suku pertama dan kedua 2025. 

 

Pendapatan daripada instrumen pendapatan tetap pula mencatat RM6.75 bilion, bersamaan 27% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

 

Daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga 2025, RM20.48 bilion dijana daripada Simpanan Konvensional manakala RM4.59 bilion daripada Simpanan Shariah.

 

Pelaburan antarabangsa pula menyumbang kira-kira 39% daripada jumlah aset KWSP dan menjana RM13.33 bilion, mewakili 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga. 

 

Menurut KWSP, prestasi ini disokong oleh penilaian pasaran ekuiti global yang mantap. - DagangNews.com