KWAP lancar Dana Iklim+ pacu pelaburan hijau RM2 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP lancar Dana Iklim+ pacu pelaburan hijau RM2 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Okt – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melancarkan Dana Iklim+, dana pelaburan pertama Malaysia yang berfokuskan iklim sebagai langkah penting ke arah memperkukuh agenda kewangan mampan negara.

 

Dengan sasaran peruntukan sebanyak RM2 bilion, Dana Iklim+ bertujuan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah sifar bersih (Net Zero) melalui penyaluran modal institusi kepada pelaburan berasaskan iklim merangkumi infrastruktur, ekuiti persendirian, hartanah serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi. 

 

Dana ini menyasarkan untuk memberi pulangan kewangan mampan serta kesan alam sekitar yang boleh diukur, sejajar usaha negara membina ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim.

 

Dana Iklim+ merupakan program pelaburan pemangkin ketiga KWAP selepas Dana Pemacu dan Dana Perintis yang dilancarkan bagi merancakkan pasaran swasta serta memperkukuh ekosistem pelaburan negara. 

 

Program baharu ini memperluas agenda tersebut dengan memperkenalkan strategi pelaburan khusus berfokuskan iklim bagi menggerakkan modal institusi ke arah matlamat penyahkarbonan dan daya tahan iklim yang boleh diukur.

 

t

 

Dana Iklim+ dilancarkan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani merangkap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar sempena Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur  (KLSS 2025). 

 

Pelancaran ini mencerminkan komitmen jangka panjang KWAP untuk mencapai portfolio pelaburan sifar bersih menjelang 2050, selain memperkukuh peranan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi mampan melalui pelaburan berfokuskan iklim yang memberi nilai jangka panjang kepada negara.

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP, Hazman Hilmi Sallahuddin berkata, pelancaran Dana Iklim+ menunjukkan kesungguhan organisasi menyelaraskan strategi pelaburan dengan objektif iklim jangka panjang negara.

 

“Sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab, KWAP mengambil langkah besar ke hadapan dalam menyokong peralihan negara ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan iklim.

 

“Dana Iklim+ adalah sebahagian penting daripada usaha ini danmembuktikan bagaimana modal institusi boleh digerakkan untuk menjana impak alam sekitar serta pertumbuhan ekonomi mampan. 

 

“Melalui dana ini, kami berhasrat untuk melabur dalam penyelesaian yang memberi nilai berpanjangan untuk masa depan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dana Iklim+ berpaksikan rangka kerja pengukuran impak KWAP yang menilai pelaburan berdasarkan enam dimensi termasuk penjajaran nasional, daya tahan iklim dan penunjuk manfaat sampingan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

 

t

 

Simbol ‘+’ pada Dana Iklim+ mewakili penunjuk manfaat sampingan tersebut yang mampu memberi kesan berganda daripada pelaburan berfokuskan iklim, merangkumi aspek keselamatan makanan, air bersih, akses tenaga dan pertumbuhan ekonomi inklusif.

 

Menurut Hazman, Dana Iklim+ disasarkan untuk menjana impak alam sekitar dan kewangan secara serentak dengan sasaran pengurangan atau mitigasi pelepasan sehingga satu juta metrik tan CO₂e melalui pelaburan yang sejajar dengan matlamat iklim. 

 

Beliau berkata, inisiatif itu mengukuhkan peranan KWAP sebagai pelabur institusi yang bertanggungjawab serta mencerminkan komitmen jangka panjang untuk menyepadukan kelestarian ke dalam ekosistem kewangan negara.

 

Dana Iklim+ juga diselaraskan dengan beberapa rangka kerja utama negara termasuk National Energy Transition Roadmap (NETR), Ekonomi MADANI serta inisiatif GEAR-uP oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

 

Semua inisiatif ini bertujuan mempercepatkan penyertaan pasaran swasta, merangsang pertumbuhan mampan dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju pelaburan hijau di rantau ini.

 

Dana ini turut menyokong aspirasi iklim negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sekali gus memperkukuh kepimpinan KWAP dalam memacu peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan masa depan. - DagangNews.com