Kumpulan Perangsang Selangor selesaikan pertikaian tanah Kuala Langat, saman ditarik balik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Perangsang Selangor selesaikan pertikaian tanah Kuala Langat, saman ditarik balik

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 DisKumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) mengumumkan penyelesaian positif berhubung tindakan undang-undang melibatkan pertikaian tanah di Kuala Langat, Selangor, apabila pihak plaintif menarik balik saman yang difailkan terhadap syarikat tersebut.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Perangsang memaklumkan bahawa prosiding undang-undang berkenaan telah ditamatkan sepenuhnya, dengan kos guaman dibayar kepada syarikat, sekali gus menutup isu yang berkait dengan transaksi tanah yang berlaku lebih 44 tahun lalu.

 

Kes tersebut melibatkan dakwaan oleh tiga individu berhubung urus niaga dua bidang tanah di Brooklyn dan Sungai Kelambu, Kuala Langat, yang sebelum ini didedahkan dalam kenyataan media syarikat pada 15 November 2023.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kumpulan Perangsang, Ahmad Fariz Hassan, berkata pihaknya berbesar hati dengan penyelesaian perkara itu.

 

“Kami berbesar hati dengan penyelesaian perkara ini, yang berkaitan dengan kejadian yang berlaku lebih empat dekad lalu.

 

"Sepanjang tempoh ini, Kumpulan Perangsang kekal komited terhadap amalan tadbir urus yang baik, ketelusan serta perlindungan kepentingan para pemegang kepentingan,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kumpulan Perangsang, MBI disaman atas dakwaan penipuan tanah di Kuala Langat

 

Latar belakang tuntutan

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 15 November 2023, Kumpulan Perangsang berkata syarikat itu telah menerima writ saman dan pernyataan tuntutan daripada tiga individu iaitu Tan Kok Heong, Tan Kok Cheng dan Tan Kok Gea.

 

Pertikaian itu membabitkan dua bidang tanah seluas 9.21 ekar yang merupakan sebahagian daripada skim perlombongan di bawah Kumpulan Perangsang di Brooklyn dan Sungai Kelambu di Kuala Langat.

 

Plaintif mendakwa bahawa tanah tersebut adalah milik Ang Kua dan Tan Hooy, ibu bapa Kok Heong dan Kok Cheng yang telah meninggal dunia.

 

Kok Gea pula mendakwa sebagai pentadbir lantikan kepada ibu bapa yang meninggal dunia.

 

Plaintif mendakwa bahawa terdapat perjanjian bahawa petak itu akan diganti dengan tanah di Brooklyn.

 

Selain itu, mereka juga mendakwa bahawa defendan telah menipu, atau bersubahat untuk menipu ketiga-tiga petak tersebut, yang mengakibatkan tanah itu dijual kepada pihak ketiga.

 

Plaintif memohon pengisytiharan bahawa mereka adalah pemilik terdahulu tanah Kuala Langat, Perjanjian Penggantian Tanah (LRA) yang dikeluarkan oleh MBI dan Kumpulan Perangsang adalah sah, dan defendan telah pecah amanah dan menolak perjanjian itu kerana mereka gagal memberi plaintif tanah gantian.

 

Oleh itu, ketiga-tiga mereka menuntut ganti rugi sebagai pampasan bagi dua tanah yang mereka jual kepada pihak ketiga oleh Kumpulan Perangsang berdasarkan kadar pasaran, atau berdasarkan penilaian tanah sebelum ini yang dibuat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia. - DagangNews.com