KUALA LUMPUR 2 Dis – Pembatalan perkhidmatan tren rentas sempadan MySawasdee No.1004 dan No.1005 bagi tempoh 5 hingga 8 Disember dan 12 hingga 15 Disember melibatkan seramai 837 penumpang, susulan keperluan pemeriksaan keselamatan pasca banjir, kerja pembersihan serta baik pulih di beberapa laluan yang masih belum stabil.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pembatalan itu melibatkan perjalanan tren No.1004 dari KL Sentral ke Hat Yai serta tren No.1005 dari Hat Yai ke KL Sentral, sekali gus memberi impak langsung kepada pergerakan pelancong dan aktiviti ekonomi rentas sempadan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut KTMB, setakat ini 683 daripada 837 penumpang yang terjejas masih belum membuat pembatalan tiket, manakala 196 penumpang bagi kedua-dua laluan telah membuat pembatalan awal dan layak menerima baki pemulangan tambang penuh.
“Bagi pembelian tiket dalam talian, penumpang boleh membuat pembatalan melalui aplikasi KITS dengan memilih MyTicket → Upcoming Ticket → Refund dan akan menerima pemulangan tambang penuh secara serta-merta ke dalam KTM Wallet untuk kegunaan pembelian tiket pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, pihak berkuasa Thailand turut memaklumkan bahawa mereka sedang menjalankan pemeriksaan infrastruktur rel serta penilaian teknikal bagi menentukan tahap keselamatan laluan sebelum sebarang operasi tren dapat disambung semula.
KTMB berkata, jadual serta tarikh perjalanan MySawasdee seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada perkembangan semasa dan situasi di Hat Yai.
“KTMB memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan menghargai kesabaran serta kerjasama semua pihak sepanjang situasi ini,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. - DagangNews.com








