KUALA LUMPUR 7 Nov – Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) mengumumkan anak syarikat milik 51%-nya, Aqua-Flo Sdn Bhd, telah menandatangani dua perjanjian rangka kerja bernilai keseluruhan RM53.05 juta dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bagi pembekalan dan penghantaran bahan kimia rawatan air untuk tempoh tiga tahun mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2028.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, KPS berkata, kontrak tersebut melibatkan pembekalan bahan pelaras pH (Kumpulan B) bernilai RM31.87 juta serta polielektrolit atau polimer larut air (Kumpulan D) bernilai RM21.19 juta.
Syarikat itu menjelaskan, harga kontrak akan kekal tetap sepanjang tempoh perjanjian dan tidak akan tertakluk kepada sebarang perubahan kos bahan mentah, buruh atau pengangkutan.
Menurut KPS, Aqua-Flo perlu mengemukakan bon pelaksanaan bernilai 5% daripada jumlah kontrak, yang akan kekal sah bagi keseluruhan tempoh kontrak tersebut.
KPS berkata, kedua-dua kontrak itu dikategorikan sebagai urusan pihak berkaitan berulang (RRPT) memandangkan ia melibatkan Air Selangor serta entiti yang dikaitkan dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, yang juga pemegang saham utama KPS.
“Perjanjian tersebut dimeterai dalam urus niaga biasa perniagaan dan pada asas komersial yang adil serta pada kadar pasaran,” katanya dalam pemakluman itu.
KPS menjangka kontrak berkenaan akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan.
Dalam pada itu, KPS memaklumkan, Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Saipolyazan Mat Yusop, dianggap mempunyai kepentingan dalam urus niaga berkenaan kerana memegang jawatan dalam MBI, Air Selangor Holdings Bhd dan entiti berkaitan lain.
Kedua-dua mereka telah berkecuali daripada sebarang perbincangan dan pengundian berkaitan perkara tersebut.
Lembaga pengarah dan jawatankuasa audit KPS (tidak termasuk pengarah berkepentingan) berpandangan, perjanjian tersebut adalah adil dan munasabah, dibuat atas terma komersial biasa, serta tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.
KPS turut menegaskan perjanjian itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pengawal selia. - DagangNews.com








