KPJ semak semula portfolio luar negara, pertimbang keluar dari Dhaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ semak semula portfolio luar negara, pertimbang keluar dari Dhaka

Tan Sri Ismail (tengah) bersama Chin Keat Chyuan (kiri) dan Mohd Izzad pada sidang media sempena AGM ke-32 KPJ di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2025.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 27 Jun – KPJ Healthcare Bhd sedang menjalankan semakan semula ke atas operasi luar negaranya, khususnya di Dhaka, Bangladesh, sebagai sebahagian daripada penilaian semula portfolio yang berterusan bagi memaksimumkan nilai kepada pemegang saham.

 

Kumpulan sedang menilai sama ada untuk meneruskan pengurusan hospital di Dhaka atau menarik diri dari bandar tersebut berikutan ketidaktentuan awam yang semakin meningkat dan menjejaskan operasi di sana, kata Ketua Pegawai Kewangan, Mohd Khairul Izzad Mohammed Shamsudin.

 

“Kami turut meneliti keadaan semasa, khususnya berkaitan ketidaktentuan awam yang sedikit sebanyak telah menjejaskan operasi kami.

 

"Kami sedang menilai semua kemungkinan, sama ada untuk kekal atau keluar. Buat masa ini, statusnya kekal,” katanya pada sidang media, Khamis.

 

Turut hadir ialah Pengerusi KPJ Healthcare, Tan Sri Dato' Sri Dr. Ismail Bakar dan Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

 

Kehadiran KPJ di Dhaka merangkumi Sheikh Fazilatunnessa Mujib Memorial KPJ Specialized Hospital & Nursing College yang berfungsi sebagai hospital dan institusi pendidikan.

 

 

Sheikh Fazilatunnessa Mujib Memorial KPJ Specialized Hospital & Nursing College
Sheikh Fazilatunnessa Mujib Memorial KPJ Specialized Hospital & Nursing College di Dhaka

 

 

Segmen luar negara KPJ yang merangkumi perkhidmatan hospital dan perkampungan persaraan di Thailand, Bangladesh dan Australia mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025.

 

Hasil daripada segmen luar negara hanya menyumbang kira-kira 3% daripada jumlah pendapatan kumpulan, manakala baki 97% disumbangkan oleh operasi di Malaysia.

 

“Pada tahun 2025, tumpuan kami adalah di Malaysia. Semakan portfolio sedang berlangsung dan dalam proses pelaksanaan,” kata Khairul.

 

Tambah beliau, kumpulan juga sedang memantau prestasi aset yang masih dimiliki di Australia, iaitu sebuah perkampungan persaraan, namun tiada keputusan segera dibuat mengenai masa depannya.

 

KPJ sebelum ini telah keluar dari pasaran Indonesia pada 2023 dan menyelesaikan pelupusan perniagaan penjagaan warga emasnya, Jeta Gardens, di Australia pada 2024 sebagai sebahagian daripada pelarasan strategik yang lebih besar bagi merampingkan pendedahan antarabangsa.

 

“Kami sedang memberi perhatian serius terhadap operasi luar negara dan beberapa keputusan besar perlu diambil,” kata Khairul. “Namun begitu, semuanya dilakukan demi memaksimumkan nilai kepada pemegang saham dan menilai di mana potensi terbaik boleh dicapai.”

 

Saham KPJ ditutup tidak berubah pada paras RM2.56 pada Khamis, dengan modal pasaran berjumlah RM11.59 bilion. - DagangNews.com