KPJ Healthcare kekal prospek stabil disokong permintaan kukuh penjagaan kesihatan swasta dan operasi hospital baharu - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare kekal prospek stabil disokong permintaan kukuh penjagaan kesihatan swasta dan operasi hospital baharu - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Mei - Prospek KPJ Healthcare Berhad dijangka kekal stabil disokong permintaan mampan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan risiko geopolitik semasa, menurut penganalisis.

 

MBSB Research berkata, dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 4% hingga 5% bagi tahun kalendar 2026 (CY26), permintaan terhadap sektor penjagaan kesihatan swasta dijangka terus berkembang.

 

"Secara sejarah, penilaian KPJ sering terjejas akibat tempoh matang operasi hospital-hospital baharu yang memerlukan kos pelaburan tinggi.

 

"Namun kumpulan itu kini dilihat berjaya melepasi fasa perbelanjaan modal (capex) tertinggi bagi hospital baharunya sekali gus membolehkan fasiliti tersebut menjadi penyumbang positif kepada EBITDA pada masa hadapan.

 

"Selain itu, KPJ turut agresif menaik taraf hospital utamanya sebagai Pusat Kecemerlangan khusus dan memanfaatkan KPJ Healthcare University bagi membantu menangani isu kekurangan jururawat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

MBSB Research berkata, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan KPJ selepas prestasi FY25 dilihat berada dalam jangkaan pasaran, selain mengambil kira faktor musim perayaan pada suku pertama tahun kalendar 2026.

 

Bagaimanapun, harga sasaran saham kumpulan itu disemak naik kepada RM3.35 berbanding RM2.92 sebelum ini selepas mengambil kira penilaian semula sektor berkenaan.

 

Katanya, harga sasaran baharu itu menggunakan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 37 kali berdasarkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 9.1 sen.

 

“PER baharu itu mencerminkan premium +0.25 sisihan piawai berbanding PER setahun KPJ, namun masih didagangkan pada diskaun berbanding median industri sekitar 38 hingga 41 kali,” katanya.

 

Prestasi Kewangan Tepati Jangkaan Pasaran

Sementara itu RHB Research terus menjadikan KPJ Healthcare pilihan utama dalam sektor penjagaan kesihatan apabila mengekalkan saranan 'BELI' terhadap saham syarikat itu dengan sasaran harga (TP) baharu RM3.77 berbanding RM3.79 sebelum ini.

 

Saranan itu dibuat selepas prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1Q26) kumpulan tersebut menepati jangkaan pasaran, disokong daya tahan operasi serta peningkatan intensiti hasil pesakit dalam.

 

Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) 1Q26 sebanyak RM71.6 juta meningkat 13% tahun ke tahun (YoY), meskipun susut 51% berbanding suku sebelumnya disebabkan faktor bermusim yang lazimnya menjadikan suku pertama tempoh paling perlahan dalam tahun kewangan.

 

“KPJ terus menawarkan profil pendapatan defensif dengan margin dan pulangan atas ekuiti (ROE) yang kukuh, selain kurang bergantung kepada pertumbuhan pelancongan perubatan berbanding pemain hospital swasta lain,” katanya.

 

Usaha Berterusan Tingkatkan Kecekapan Operasi

Sementara itu Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, KPJ Healthcare dijangka terus mencatat pertumbuhan mampan disokong faktor struktur jangka panjang termasuk peningkatan populasi warga emas dan kadar penembusan insurans yang semakin tinggi di Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, meskipun berdepan tekanan kos, prospek pertumbuhan KPJ masih kekal positif disokong pelaksanaan inisiatif pengembangan kapasiti hospital dan usaha berterusan meningkatkan kecekapan operasi di seluruh rangkaian hospital kumpulan.

 

Menurutnya, strategi penambahbaikan operasi itu penting bagi memastikan KPJ mampu mengekalkan daya saing selain memperkukuh tahap keuntungan dalam persekitaran kos yang semakin mencabar.

 

"KPJ juga dilihat berada dalam kedudukan lebih defensif berikutan pendedahan perniagaannya yang tertumpu kepada pasaran domestik, sekali gus mengurangkan impak ketidaktentuan ekonomi luaran dan turun naik pasaran global," katanya. - DagangNews.com