KPJ Healthcare himpun 300 pakar mata dalam Persidangan Mata KPJ Kedua 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPJ Healthcare himpun 300 pakar mata dalam Persidangan Mata KPJ Kedua 2025

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 NovKPJ Healthcare Bhd melakar sejarah apabila berjaya menghimpunkan lebih 300 pakar mata dalam Persidangan Mata KPJ Kedua 2025 selama dua hari di ibu negara.

 

Acara tersebut menyaksikan pakar oftalmologi dan penjagaan mata daripada sektor swasta, kerajaan serta akademia membincangkan perkembangan terkini dalam pembedahan katarak dan refraktif.

 

Persidangan itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Perubatan KPJ Healthcare, Prof Emeritus Datuk Dr Lokman Saim, serta dihadiri Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan.

 

Ia dianjurkan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Persatuan Pembedahan Katarak dan Refraktif Malaysia (MSCRS), manakala KPJ Healthcare University (KPJU) bertindak sebagai rakan akademik.

 

Bertemakan 'Cataract & Refractive Surgery: Sharpening Our Vision for the Future,' program tersebut menampilkan 14 sesi perbincangan saintifik dan 33 pencerama.

 

Ini termasuk Pengarah Perubatan KPJ Centre for Sight, Prof Madya (C) Dr Norzalina Bachik; Presiden MSCRS dan Pengarah Kornea, Prof Datuk Dr Khairidzan Mohd Kamal; serta Pakar Bedah Katarak dan LASIK di KPJ Centre for Sight, Dr Helen Tan.

 

Topik yang dibentangkan merangkumi kanta intraokular (IOL) premium, teknik pembedahan terkini, perancangan pembedahan berasaskan AI, strategi pembetulan presbiopia, dan hasil rawatan sebenar (real-world outcomes).

 

Keat Chyuan dalam kenyataannya hari ini berkata, persidangan berkenaan menjadi wadah penting untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan pengamal perubatan mata bagi meningkatkan keupayaan dan kualiti rawatan di Malaysia.

 

“Penglihatan yang baik menyokong kebolehan untuk berdikari dan kualiti hidup. Apabila pilihan rawatan semakin berkembang, pakar perlu membina pengalaman praktikal bagi membantu pesakit membuat keputusan yang tepat.

 

"Persidangan ini menghimpunkan pakar untuk berkongsi amalan terbaik berasaskan data klinikal dan pandangan praktikal. Melalui kerjasama berterusan dengan rakan kongsi di seluruh ekosistem penjagaan mata, kami akan terus memperkukuh keupayaan demi manfaat pesakit, sejajar dengan aspirasi Care for Life kami,” katanya.

 

Menurut KPJ Healthcare, inisiatif ini adalah sebahagian daripada KPJ Health System, pendekatan menyeluruh yang mengintegrasikan perkhidmatan klinikal, pendidikan dan penyelidikan bagi memperluas keupayaan subkepakaran serta meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di rangkaian hospital KPJ di seluruh negara.

 

Melalui kerjasama akademik bersama KPJU serta peluang peningkatan kemahiran berterusan, program ini menyokong pembangunan profesional dan kemajuan klinikal dalam kalangan pakar mata tempatan.

 

Pendekatan ini turut disokong oleh inovasi dan teknologi digital yang membantu pesakit membuat keputusan klinikal dengan lebih baik.

 

KPJ Healthcare turut mengumumkan bahawa edisi ketiga persidangan itu akan diadakan pada 21 dan 22 November 2026, sekali gus menegaskan komitmen berterusan kumpulan dalam memperkukuh bidang katarak dan pembedahan refraktif di Malaysia. - DagangNews.com