KUALA LUMPUR 17 Julai – KPJ Healthcare Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka dengan meraih empat anugerah di ESG Positive Impact Awards 2024 yang dianjurkan oleh Star Media Group.
Anugerah ini mengiktiraf syarikat-syarikat di Malaysia yang telah mengamalkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaan mereka.
Buat julung kalinya bertanding dalam kategori ‘Syarikat Besar’, KPJ Healthcare muncul sebagai antara organisasi yang paling banyak menerima pengiktirafan pada tahun ini. Kemenangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan terhadap penjagaan kesihatan yang bertanggungjawab dan amalan perniagaan yang lestari.
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, “Kami berasa amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini, yang mencerminkan dedikasi Team KPJ dalam memacu pertumbuhan yang lestari dan inklusif".
"Anugerah ini mengesahkan komitmen kami untuk mencipta nilai jangka panjang kepada pesakit, warga kerja, alam sekitar dan komuniti yang kami berkhidmat. ESG merupakan pemacu utama dalam operasi dan pertumbuhan kami.
"Ia menjadi panduan dalam perjalanan transformasi kami di bawah KPJ Health System serta hala tuju kami dalam menyampaikan penjagaan yang lebih baik, memajukan perkongsian ilmu dan membina masa depan yang lebih mampan untuk Kumpulan,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

KPJ Healthcare menerima Anugerah Emas dalam kategori Kesejahteraan dan Kesihatan Baik atas tumpuan terhadap kesejahteraan pekerja.
Pengiktirafan ini menonjolkan budaya organisasi yang berasaskan nilai, berteraskan prinsip C.A.R.E. (Komited, Bertanggungjawab, Hormat dan Cemerlang), penglibatan aktif warga kerja serta sokongan kesihatan mental yang mudah diakses.

Kumpulan turut memenangi Anugerah Perak bagi kategori Transformasi, sebagai pengiktirafan terhadap usaha untuk mengintegrasikan prinsip ESG dalam operasi mereka melalui inisiatif seperti Green Healthcare Sustainability Framework serta transformasi berterusan di bawah KPJ Health System.
Dalam kategori Tenaga Boleh Diperbaharui, KPJ Healthcare meraih Anugerah Perak atas penerapan penyelesaian tenaga bersih, termasuk projek solar atas bumbung dan penyertaan dalam Green Electricity Tariff (GET). Inisiatif-inisiatif ini telah menyumbang kepada pengurangan jejak karbon Kumpulan.

KPJ Klang Specialist Hospital menerima Anugerah Perak dalam kategori Pengurusan Bakat atas usaha membangunkan bakat dan mengukuhkan pengekalan tenaga kerja. Anugerah ini mencerminkan strategi sumber manusia berasaskan data serta penglibatan bermakna bersama staf.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi komitmen KPJ Healthcare terhadap kelestarian, inovasi digital dan penjagaan berpusatkan manusia. Menerusi KPJ Health System yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan, Kumpulan terus meningkatkan piawaian penjagaan di seluruh negara sambil memperkukuh amalan ESG di seluruh operasinya.
Sila layari: https://kpj.listedcompany.com/sustainability.html untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif kelestarian KPJ Healthcare. - DagangNews.com








