Kos tanah M Cora 9.8% daripada GDV, Mah Sing dijangka terus progresif - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos tanah M Cora 9.8% daripada GDV, Mah Sing dijangka terus progresif - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Pembelian tanah bernilai RM51.8 juta oleh Mah Sing Group Bhd di Jelutong, Pulau Pinang yang bersamaan 9.8% daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) projek M Cora bernilai RM528 juta, dianggap masih berada dalam paras munasabah dan selesa bagi kumpulan itu, menurut penganalisis.

 

Mah Sing merancang projek pembangunan bercampur M Cora, di tapak berkenaan.

 

Ia dijangka membiayai pengambilalihan dan pembangunan menggunakan gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan struktur pembiayaan akhir akan ditentukan oleh pihak pengurusan. 

 

Setakat 28 Ogos, kumpulan itu mencatatkan kira-kira RM1.12 bilion dalam tunai dan baki bank, manakala nisbah hutang bersih kepada ekuiti berada pada 0.23 kali.

 

BIMB Research berkata, kos tanah tersebut berada dalam julat yang diterima oleh syarikat dan menyokong prospek margin yang sihat untuk pelancaran akan datang. 

 

“Daya kewangan yang kukuh ini membolehkan Mah Sing meneruskan pengambilalihan strategik di Kuala Lumpur, Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang serta memanfaatkan pertumbuhan merentasi pelbagai jenis projek.

 

“Selepas pengambilalihan ini, jumlah GDV dan jualan belum ditagih akan meningkat kepada RM32.90 bilion, manakala baki tanah milik syarikat akan bertambah kepada 2,557 ekar. 

 

“Kami mengekalkan saranan “beli” untuk saham ini dan menaikkan sasaran harga daripada RM1.87 kepada RM1.89,” kata BIMB Research dalam nota kajiannya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Mah Sing umum pembangunan M Cora dengan GDV RM528 juta di Pulau Pinang

 

Sementara itu, CIMB Securities berkata, walaupun nisbah kos tanah kepada GDV yang dianggarkan untuk M Cora adalah menarik, Mah Sing dijangka menanggung kos tambahan untuk kerja-kerja penambakan bagi mengukuhkan keadaan tanah tapak projek.

 

Sehubungan itu, CIMB mengunjurkan M Cora akan mencatat margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dalam lingkungan 17% hingga 18%, selaras dengan purata projek dalam siri M kumpulan itu.

 

“Terma pembayaran bagi tanah tersebut juga dianggap menggalakkan kerana ia akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

 

M Cora dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2026 dengan harga permulaan RM426,000 seunit.

 

Sebagai perbandingan, Mah Sing melancarkan projek terbaharu di Pulau Pinang, M Zenni, pada Oktober lalu yang menampilkan unit kediaman servis pegangan bebas bermula pada harga RM480,000 seunit (RM698 sekaki persegi), dan telah mencapai kadar pengambilan sebanyak 70%.

 

Menurut CIMB Research, hartanah yang setara di sekitar kawasan M Cora termasuk The Lightz oleh Exsim Group (RM800 hingga RM900 sekaki persegi) dan 3 Residences @ Karpal Singh Drive oleh IJM Land Bhd (median: RM815 sekaki persegi).

 

CIMB Research berkata ,M Cora berpotensi mengulangi kejayaan M Zenni, disokong oleh harga yang kompetitif, lokasi strategik serta kedudukannya berhampiran Stesen Bandar Sri Penang di sepanjang Laluan Mutiara bagi sistem transit aliran ringan (LRT).

 

Namun buat masa ini, firma penyelidikan tersebut tidak membuat sebarang perubahan terhadap anggaran pendapatan Mah Sing sementara menunggu struktur harga M Cora dimuktamadkan.- DagangNews.com