KUALA LUMPUR 15 Julai – Peraturan digital kini menjadi kos yang semakin membebankan syarikat pemula (startup) di Malaysia apabila 88% syarikat melaporkan kekangan operasi, manakala 81% menyatakan kos pematuhan meningkat, menurut kajian Oxford Economics.
Kajian yang diperakui Digital Prosperity Asia (DPA) itu turut mendapati lebih dua pertiga startup telah mengubah proses operasi termasuk membangunkan mekanisme pematuhan baharu, menggunakan penyedia perkhidmatan awan yang mematuhi peraturan serta mendapatkan khidmat perundingan undang-undang.
Pengarah Urusan Economic Consulting Oxford Economics, Henry Worthington berkata, keperluan pematuhan kini mengalihkan sumber kewangan dan tenaga kerja daripada inovasi kepada pematuhan.
"Kajian ini menunjukkan bagaimana peraturan mempengaruhi keputusan di seluruh ekosistem syarikat pemula Malaysia. Startup kini berdepan tekanan segera apabila perlu memenuhi keperluan pematuhan di bawah pelbagai peraturan digital.
"Memenuhi keperluan tersebut sering memerlukan tenaga kerja khusus dan perubahan kepada model operasi, sekali gus mengalihkan sumber daripada inovasi dan pertumbuhan.
"Pelabur juga mengambil kira keupayaan sesebuah startup memenuhi tuntutan kawal selia ketika membuat keputusan pelaburan," katanya.
Peruntukan R&D Terjejas
Beliau menambah kajian mendapati 67% startup melaporkan peruntukan R&D terjejas, manakala 57% mengalami kelewatan pembangunan produk.
Selain itu, 74% startup menyatakan kos modal insan meningkat berikutan permintaan terhadap kepakaran dalam pematuhan, keselamatan siber dan tadbir urus data.
"Kajian itu turut menunjukkan ketidaktentuan kawal selia memberi kesan kepada sentimen pelaburan apabila 63% startup menyifatkan ia menyukarkan usaha mendapatkan modal, sementara 73% firma modal teroka (VC) berkata peraturan digital meningkatkan ketidaktentuan pulangan pelaburan," katanya dalam kenyataan.
Pemodelan ekonomi menunjukkan peraturan yang lebih ketat boleh mengurangkan pembiayaan VC sebanyak 26% atau purata RM792 juta setahun bagi tempoh 2026 hingga 2035, manakala pendekatan kawal selia yang lebih mesra inovasi berpotensi meningkatkan pembiayaan sebanyak 6% atau sekitar RM198 juta setahun.
Wakil Sekretariat DPA, Koh Liang Wei berkata, Malaysia mempunyai asas kukuh dalam membangunkan ekonomi digital yang menyokong inovasi, namun peraturan berkaitan data, keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI) perlu terus dirangka secara jelas dan seimbang.
Tambahnya, ia juga perlu melalui rundingan dengan industri bagi memastikan startup dapat menyalurkan sumber kepada pengambilan bakat, pembangunan produk dan pengembangan serantau tanpa menjejaskan kepercayaan serta keselamatan ekosistem digital.
"DPA berharap dapat terus menyokong dialog yang membina antara pembuat dasar dan ekosistem startup bagi memastikan peraturan dapat melindungi kepercayaan pengguna sambil terus menggalakkan pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com








