Kos melonjak, syarikat bersekutu Hibiscus Petroleum gantung dagangan saham di Bursa Australia susulan kelewatan pembiayaan projek Otway | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos melonjak, syarikat bersekutu Hibiscus Petroleum gantung dagangan saham di Bursa Australia susulan kelewatan pembiayaan projek Otway

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Jan – 3D Energi Limited syarikat bersekutu Hibiscus Petroleum Bhd menggantung dagangan sahamnya di Bursa Sekuriti Australia (ASX) selepas berdepan kekangan pembiayaan susulan lonjakan kos dalam Program Penggerudian Fasa 1 Otway di permit penerokaan VIC/P79, meskipun program itu berjaya menghasilkan dua penemuan gas baharu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hibiscus berkata, kumpulan akan memantau perkembangan perkara ini.

 

Namun katanya, kesan kewangan terhadap Kumpulan adalah terhad kepada nilai bawaan pelaburannya dalam 3D Energi Limited yang dianggarkan sekitar RM4 juta.

 

Sementara itu 3D Energi yang memiliki 20% kepentingan penyertaan dalam projek tersebut dalam pemakluman di ASX berkata, kos penggerudian bagi dua telaga penemuan, Essington-1 dan Charlemont-1, adalah jauh lebih tinggi daripada anggaran pra-penggerudian asal.

 

Akibatnya, panggilan tunai usaha sama meningkat ketara, meninggalkan baki pembayaran kira-kira AS$2.5 juta yang tidak dapat dipenuhi oleh syarikat ketika ini.

 

Pengendali usaha sama telah mengeluarkan notis ingkar kepada 3D Energi dengan tempoh pembetulan sehingga 6 Februari, manakala perbelanjaan tambahan tertakluk kepada panggilan tunai yang dijadualkan pada tarikh sama dianggarkan sekitar AS$5.3 juta.

 

Sekiranya gagal dibayar, jumlah ini berpotensi mencetuskan notis ingkar tambahan serta implikasi lanjut terhadap kepentingan syarikat dalam permit berkenaan.

 

Dalam kenyataan itu juga, 3D Energi berkata Perjanjian Operasi Bersama projek itu mengandungi mekanisme standard industri untuk menangani kegagalan pembayaran, termasuk proses notis dan pembetulan, serta kemungkinan pencairan atau pembelian keluar kepentingan penyertaan.

 

Walaupun berdepan cabaran pembiayaan, keputusan penerokaan Fasa 1 dilihat positif dari sudut teknikal. Program penggerudian yang menggunakan pelantar Transocean Equinox telah menghasilkan dua penemuan gas, sekali gus mengesahkan peluasan laluan gas Otway ke dalam permit VIC/P79.

 

Telaga Essington-1, yang disiapkan pada awal Disember, menemui gas asli dalam takungan Waarre C dan Waarre A, menjadikannya penemuan gas pertama di Lembangan Otway sejak 2021.

 

Telaga Charlemont-1 pula, yang siap pada pertengahan Januari, menemui gas dalam takungan cetek Waarre C serta batu pasir mengandungi gas di selang Waarre A yang lebih dalam.

 

Essington terletak kira-kira 12 kilometer dari saluran paip gas sedia ada, dengan data awal menunjukkan kandungan CO₂ yang rendah sekitar 3–4% serta potensi kehadiran kondensat.

 

Kedudukan berhampiran infrastruktur sedia ada dilihat berpotensi menawarkan laluan pembangunan yang lebih pantas, tertakluk kepada penilaian komersial dan kelulusan kawal selia.

 

3D Energi kini sedang menjalankan analisis pasca-penggerudian bagi menilai potensi teknikal dan komersial penemuan tersebut, di samping meneliti langkah pembiayaan seterusnya.

 

Syarikat itu menyertai projek VIC/P79 bersama pengendali ConocoPhillips Australia yang memegang 51% kepentingan, serta Korea National Oil Corporation dengan 29% kepentingan- DagangNews.com