Kos logistik, pengangkutan dan insurans perkapalan dikhuatiri meningkat jika konflik Timur Tengah berpanjangan - Noraini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos logistik, pengangkutan dan insurans perkapalan dikhuatiri meningkat jika konflik Timur Tengah berpanjangan - Noraini

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kerajaan menjangkakan sekiranya konflik geopolitik di Timur Tengah berpanjangan, kos logistik, pengangkutan serta insurans perkapalan berkemungkinan meningkat dan memberi kesan kepada kos operasi industri komoditi negara.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Dr. Noraini Ahmad berkata kementeriannya sedang memantau secara rapi perkembangan konflik geopolitik di rantau tersebut serta potensi kesannya terhadap perdagangan dan pasaran komoditi global.

 

Menurut beliau, perkembangan semasa telah memberi tekanan kepada rantaian bekalan global, khususnya melibatkan sektor tenaga, perkapalan dan logistik.

 

Katanya, ketegangan di rantau itu turut menyumbang kepada kenaikan harga tenaga dunia yang secara tidak langsung mempengaruhi harga komoditi termasuk minyak sawit.

 

"Berdasarkan penilaian semasa kementerian bersama agensi berkaitan, eksport komoditi utama negara seperti minyak sawit, getah, lada, koko dan produk berasaskan kayu masih berjalan seperti biasa,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pada masa yang sama kata Dr Noraini, peningkatan harga tenaga global juga berpotensi menyokong permintaan terhadap komoditi berasaskan bio seperti minyak sawit, terutamanya dalam sektor biofuel, yang boleh memberi kesan positif kepada harga komoditi tersebut di pasaran antarabangsa.

 

Beliau berkata kerajaan akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri, agensi pengawal selia serta rakan perdagangan antarabangsa bagi memastikan kelancaran eksport dan kestabilan rantaian bekalan komoditi negara.

 

Tambahnya, kementerian juga akan memperkukuh daya tahan sektor perladangan dan komoditi melalui strategi kepelbagaian pasaran, peningkatan produktiviti serta pengukuhan nilai tambah produk komoditi Malaysia. - DagangNews.com