Kos bahan kimia naik punca urus niaga TMK Chemical melepasi unjuran asal 10% ditetapkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan kimia naik punca urus niaga TMK Chemical melepasi unjuran asal 10% ditetapkan

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mei – Kenaikan kos bahan kimia terus memberi tekanan kepada TMK Chemical Berhad yang mengumumkan nilai sebenar urus niaga pihak berkaitan berulang (RRPT) melebihi anggaran asal.


Peningkatan harga produk di pasaran semasa menjadi faktor utama yang mendorong nilai transaksi pembelian dan penjualan bahan kimia melepasi nilai 10% dianggarkan oleh kumpulan itu sebelum ini.


Menurutnya, antara urus niaga tersebut melibatkan Taiko Bleaching Earth Sdn Bhd bagi pembelian bahan kimia apabila mencatat nilai sebenar terkumpul yang mencecah RM4.59 juta, iaitu peningkatan 15%. 


"Jumlah berkenaan melebihi anggaran sebanyak RM4 juta yang digariskan syarikat melalui Pekeliling Pemegang Saham bertarikh 28 April 2025," kata TMK Chemical dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Angka tersebut jelasnya, mewakili peningkatan sebanyak RM594,000 daripada anggaran asal susulan kenaikan harga pasaran bahan kimia, dan transaksi dicatatkan dari 13 Jun 2025 hingga 13 Mei 2026.


Selain itu tambah kumpulan berkenaan, RRPT bersama Taiko Acid Works Sdn Bhd melibatkan pembelian dan jualan bahan kimia pula merekodkan nilai sebenar RM20.01 juta berbanding anggaran hanya RM17 juta.


Ia juga dilaporkan pada tempoh yang sama jelas TMK Chemical, dengan perbezaan sebanyak RM3.01 juta itu bersamaan peningkatan 18%, dan turut disebabkan oleh kenaikan harga pasaran bahan kimia.


Pengumuman itu selaras dengan Perenggan 10.09(2)(e) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas nilai sebenar RRPT melebihi 10% daripada anggaran terdahulu. - DagangNews.com