KUALA LUMPUR 27 Feb – Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) menegaskan pihaknya adalah rakan strategik pengurusan pelajar yang sah bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berdasarkan perjanjian rasmi yang telah dimeterai sejak tahun 2017 melalui perjanjian UKM-KSBB.
Pengurusnya, Dr. Muhammad Hafiz Md Saad berkata perjanjian itu adalah mengikut model perjanjian pertama antara UKM dengan Syarikat Swasta yang lain yang ditandatangan pada 2015.
“Ini bermakna model perjanjian dengan KSBB bukan model yang pertama. Sepanjang tempoh itu, KSBB telah memainkan peranan aktif dalam mempromosikan program akademik UKM dan membantu proses kemasukan pelajar ke universiti tersebut.
“Melalui kerjasama ini, agihan telah dipersetujui pada nisbah 47 : 53 (47% UKM dan 53% KSBB) untuk Program Sarjana Pendidikan dan untuk Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI).
“Nisbah adalah pada kadar 45 : 55 (45% UKM dan 55% KSBB) yang bermaksud UKM akan mendapat agihan bersih manakala semua kos program ditanggung oleh KSBB.
“Antaranya ialah seperti kos promosi, pemasaran, pengurusan pelaksanan program, pengurusan kewangan, bayaran honorarium pengajaran pensyarah, bayaran honorarium penyeliaan pensyarah, elaun guru pembimbing, pengurusan kelas digital, pengurusan pengangkutan dan penginapan pelajar, pengurusan kelas bersama Fakulti dan lain lain lagi yang dijalankan oleh KSBB,” katanya dalam satu kenyataan.
Penjelasan tersebut dibuat bagi merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh UKM untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan rakan strategik, pelajar dan orang awam.
Setelah ditolak perbelanjaan pengurusan program, pihak KSBB mendapat keuntungan bersih sebanyak 10% - 15% selari dengan prinsip asas penubuhan sesebuah koperasi.
ARTIKEL BERKAITAN: Koperasi Siswazah Bangi Berhad nafi penyelewengan dana yuran, tegaskan kutipan mengikut perjanjian UKM
Rekod Prestasi dan Sumbangan kepada UKM
Sehingga kini, melalui inisiatif tersebut, KSBB telah berjaya membawa masuk seramai 4,845 pelajar Sarjana Pendidikan dan 18,360 pelajar DPLI ke UKM.
Beliau berkata usaha ini secara langsung telah menjana hasil bersih berjumlah RM90.56 juta kepada UKM.
“Pencapaian ini membuktikan komitmen KSBB dalam menyokong kelestarian kewangan dan reputasi akademik UKM,” katanya.
Sumbangan kepada Dasar Pendidikan Negara
Selari dengan itu, usahasama antara KSBB dan UKM telah turut mendokong dan menyokong dasar pendidikan negara dengan melahirkan graduan-graduan terlatih, khususnya dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata melalui program DPLI yang dipromosikan dan disalurkan oleh KSBB, ramai dalam kalangan graduan tersebut telah berjaya diserap ke dalam Perkhidmatan Awam sebagai guru-guru terlatih dan kini berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah di seluruh negara.
“Sumbangan ini bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan modal insan negara, malah memperkukuh ekosistem pendidikan nasional secara berterusan dan mampan,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu LKAN dedah kepincangan kutipan yuran: UKM nafi KSBB ada kaitan dengan universiti
Penggunaan Logo UKM bagi Tujuan Promosi
Beliau berkata penggunaan logo UKM dalam bahan pemasaran koperasi adalah bertujuan semata-mata untuk tujuan promosi bagi Program Sarjana Pendidikan dan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah.
“Adalah menjadi amalan standard dalam industri pengambilan pelajar untuk memaparkan logo institusi bagi memastikan bakal pelajar mendapat maklumat yang jelas mengenai universiti yang dipromosikan.
“Tanpa penggunaan identiti visual tersebut, proses pemasaran akan menjadi tidak efektif dan boleh mengelirukan bakal pelajar mengenai kredibiliti program yang ditawarkan,” tegasnya.
Integriti dan Penafian Salah Guna
Tambahnya, penggunaan logo UKM bagi tujuan promosi tidak pernah dilakukan bagi tujuan penipuan identiti, penyamaran atau sebarang bentuk salah guna yang boleh menjejaskan imej UKM sepertimana yang cuba digambarkan pihak-pihak tertentu.
“KSBB sentiasa beroperasi sebagai entiti profesional dengan kekal menghormati hubungan kerjasama yang telah lama terjalin,” katanya. - DagangNews.com








