KUALA LUMPUR 24 Okt - Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024, anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad akan berlangsung mulai 25 Oktober 2024 sehingga 27 Oktober 2024.
Konvensyen tersebut akan menghimpunkan pemimpin global, inovator dan pembuat dasar dalam sektor kesihatan untuk membincangkan rumusan dan teknologi baharu yang akan memacu masa depan industri penjagaan kesihatan.
MIH yang akan berlangsung sepanjang tiga hari itu akan mengetengahkan perbincangan mengenai isu-isu penting dalam sektor kesihatan seperti potensi kecerdasan minda (AI) generatif.
KPJ Healthcare berkata, MIH akan membincangkan enggunaan teknologi terkini dalam penjagaan kesihatan, masa depan pembiayaan kesihatan negara, kerjasama awam-swasta untuk penjagaan kesihatan mampan, pelaksanaan model penjagaan berasaskan nilai serta evolusi perubatan tepat.
"Kami akan mempamerkan 'Life Sciences Frontier Floor' yang direka khas untuk segmen perniagaan kepada perniagaan (B2B), di mana pengunjung boleh menyaksikan perkongsian oleh doktor serta pempengaruh kesihatan serta boleh mendapati saringan kesihatan dan konsultasi percuma oleh KKM dan KPJ Healthcare.
"Bagi segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) pula, kami mempamerkan 'Future Healthcare Frontier Floor' yang akan menampilkan pameran dinamik serta Studio 'MIHLive+' dengan penceramah jemputan.
"Pengunjung juga boleh menikmati kawasan 'Kids Zone' yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik seisi keluarga, termasuk penampilan istimewa Didi dan Friends," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, peserta MIH Megatrends akan mendapat manfaat daripada lebih 40 penceramah terkenal di peringkat global, termasuk 'The Medical Futurist', Dr. Bertalan Meskó; inovator AI dalam penjagaan kesihatan, Dr. Luqman Lawal; pakar psikologi kritikal, Profesor Julia Rucklidge; inovator sistem kesihatan, Profesor Jeffrey Braithwaite dan usahawan kesihatan digital, Dr. Mohd Lutfi Fadil Lokman.
Di samping itu, KPJ Healthcare berkata, persidangan tiga hari itu memeberi peluang kepada profesional perubatan, ahli teknologi dan jurutera memperoleh mata CPD.
"MIH juga terbuka kepada semua profesional kesihatan, pihak berkepentingan dan orang awam yang berminat untuk meneroka inovasi terkini dalam penjagaan kesihatan," katanya. - DagangNews.com








