Kontrak FSO peluang MISC luaskan jejak dalam segmen tenaga luar pesisir Papua New Guinea - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kontrak FSO peluang MISC luaskan jejak dalam segmen tenaga luar pesisir Papua New Guinea - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 11 Feb — Kontrak penyediaan unit Floating Storage and Offloading (FSO) di Papua New Guinea (PNG) dilihat sebagai perkembangan strategik yang mengukuhkan kedudukan MISC Bhd sebagai penyedia penyelesaian luar pesisir pilihan bagi syarikat tenaga global utama, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak jangka panjang itu bukan sahaja memperluas jejak antarabangsa kumpulan, malah mewujudkan tapak awal MISC dalam segmen tenaga luar pesisir PNG yang sedang berkembang.

 

Katanya, tempoh pajakan yang panjang berserta opsyen lanjutan memberi keterlihatan pendapatan untuk jangka masa panjang, walaupun sumbangan kewangan yang signifikan hanya dijangka direalisasikan mulai 2028 dan seterusnya.

 

MBSB menambah, dalam konteks lebih luas, projek itu merupakan projek luar pesisir utama pertama MISC di PNG, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam hubungan jangka panjang kumpulan dengan negara berkenaan.

 

"PNG kini berada dalam fasa kritikal pembangunan industri minyak dan gasnya, yang kekal sebagai tunjang utama ekonomi negara dengan menyumbang kira-kira 80% daripada jumlah hasil eksport.

 

"Kemasukan MISC ke pasaran tersebut mencerminkan langkah ‘kemasukan strategik’ ke dalam sektor tenaga PNG menerusi pelaksanaan projek infrastruktur bernilai tinggi dan berjangka panjang," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

MBSB berkata, walaupun hubungan MISC dengan PNG telah bermula seawal 2010 melalui usaha sama dengan Petromin PNG Holdings, projek FSO ini dianggap sebagai mercu tanda baharu yang memperkukuh lagi kedudukan kumpulan dalam rantaian nilai tenaga luar pesisir di rantau Asia Pasifik.

 

Firma itu menambah. memandangkan segmen ini hanya akan mula menyumbang mulai 2028, pihaknya tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan bagi FY26.

 

Ke hadapan, MBSB berkata, prospek MISC dilihat bercampur namun secara keseluruhan kekal positif, disokong oleh model perniagaan yang pelbagai serta peluang pertumbuhan berterusan dalam segmen kapal tangki dan kemudahan FPSO.

 

Bagaimanapun, penganalisis berpandangan bahawa sebahagian besar prospek positif tersebut telah pun diambil kira dalam penilaian harga saham semasa.

 

Sehubungan itu, saranan NEUTRAL ke atas MISC dikekalkan dengan harga sasaran (TP) RM8.13.

 

Penilaian tersebut adalah berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 15 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham FY25 (EPS25) sebanyak 54.2 sen. Paras PER itu mewakili sedikit premium, iaitu sekitar +0.5 sisihan piawai berbanding purata PER setahun MISC sebanyak 14.6 kali. - DagangNews.com