KUALA LUMPUR 12 Mac — Kontrak penyediaan perkhidmatan bersepadu Hydraulic Workover Unit (HWU) dan penutupan telaga minyak yang diperoleh T7 Global Berhad (T7 Global) daripada EnQuest Petroleum Production Malaysia Ltd berpotensi menyumbang kira-kira RM4 juta kepada keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat pada tahun kewangan 2026.
Menurut firma penyelidikan Phillip Capital, sumbangan itu dianggarkan mewakili sekitar 7% daripada unjuran pendapatan T7 Global bagi tahun kewangan 2026.
Walaupun nilai sebenar kontrak tidak didedahkan, kerja-kerja di bawah Pakej B3 itu dianggarkan melibatkan pelaksanaan kira-kira 24 telaga sepanjang tempoh dua tahun kontrak.
"Berdasarkan andaian purata hasil sekitar RM6 juta bagi setiap telaga, nilai keseluruhan kontrak dianggarkan mencecah kira-kira RM144 juta.
"Daripada jumlah tersebut, kira-kira 10 telaga dijangka disiapkan pada 2026 dengan margin keuntungan bersih sekitar 6%, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keuntungan syarikat bagi tempoh berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Phillip Capital menambah, kontrak itu juga dijangka menyokong kadar penggunaan tinggi bagi unit TSeven Ryan 460K milik T7 Global yang berkemungkinan beroperasi hampir pada kapasiti penuh sepanjang tempoh kempen.
Dalam pada itu, Phillip Capital mengekalkan saranan “PEGANG” terhadap saham T7 Global dengan harga sasaran RM0.28 sesaham berdasarkan kaedah penilaian jumlah bahagian (SOP), yang mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) kira-kira lima kali bagi unjuran 2026.
T7 Global dilihat terus berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan aktiviti minyak dan gas domestik serta luar pesisir yang berterusan, disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai kira-kira RM4 bilion.
Daripada jumlah itu, kira-kira 90% disumbangkan oleh segmen tenaga manakala baki 10% daripada segmen perkhidmatan industri, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan jangka panjang kepada syarikat.
Bagaimanapun, antara risiko utama yang boleh menjejaskan prestasi syarikat termasuk jumlah pesanan kerja yang lebih rendah atau lebih tinggi daripada jangkaan, kelewatan projek BHS serta peningkatan kos operasi yang berpotensi menekan margin keuntungan.
Sementara itu kontrak daripada EnQuest yang diperoleh menerusi anak syarikat milik penuh T7 Global, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd akan bermula 19 Februari 2026 sehingga 18 Februari 2028.
Penganugerahan berulang itu dibuat selepas kejayaan T7 Global menyiapkan program melibatkan lapan telaga pada 2025, sekali gus memperkukuh rekod pelaksanaan syarikat serta hubungan kerjasama dengan EnQuest.
Menurut Phillip Capital, penganugerahan kontrak berulang tersebut mencerminkan keupayaan operasi T7G selain mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia perkhidmatan dipercayai kepada EnQuest. - DagangNews.com








