KUALA LUMPUR 27 Nov – KNM Group Berhad (KNM) menjelaskan perjanjian jual beli bersyarat (SPA) bagi penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM) kepada NGK Insulators, Ltd (NGK) kekal sah dan berkuat kuasa sepenuhnya.
Menurut KNM, di bawah Klausa 10.2 SPA, mana-mana pihak hanya boleh menarik diri daripada Perjanjian jika Penutupan tidak berlaku dalam tempoh sembilan bulan daripada tarikh SPA, dan dengan mengeluarkan notis bertulis kepada pihak yang satu lagi.
"Sehingga kini, tiada notis sedemikian dikeluarkan oleh mana-mana pihak," kata KNM dalam kenyataan bagi mengemas kini cadangan penjualan DKNM kepada NGK, susulan penyahsenaraian syarikat itu daripada Senarai Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menurut KNM, Tarikh Tamat Jangka Panjang di bawah SPA antara KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS) dan NGK untuk penjualan satu saham DKNM, mewakili 100% kepentingan ekuiti DKNM, pada harga pertimbangan EUR270 juta adalah pada 26 November 2025.
Katanya, walaupun semua Syarat Prasyarat (CP) telah dipenuhi oleh kedua-dua pihak, beberapa CP telah menjadi tidak relevan susulan penyahsenaraian KNM, khususnya yang memerlukan kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad.
KNM menambah, syarikat telah menerima surat daripada NGK yang menyatakan bahawa mereka sedang menilai kesan penyahsenaraian itu terhadap CP yang masih berbaki sebelum meneruskan proses Penutupan.
"NGK juga memerlukan masa tambahan untuk melengkapkan penilaian ini serta menzahirkan kebimbangan mengenai tindakan undang-undang yang sedang dijalankan oleh Bursa Malaysia Securities Berhad terhadap KNM Group Berhad.
"NGK telah meminta maklumat terperinci mengenai saman berkenaan, kerana isu ini merupakan komponen penting dalam penilaian mereka disebabkan implikasi reputasi yang terlibat," katanya.
Menurut KNM, syarikat kini sedang berunding dengan NGK bagi menentukan langkah seterusnya yang sesuai, termasuk kemungkinan melanjutkan tempoh pelaksanaan CP secara bersama atau mengejar pilihan lain yang dibenarkan di bawah SPA.
KNM akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material. - DagangNews.com








