KLCI teruskan momentum positif naik 10.85 mata, sektor teknologi melonjak lebih 2% - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI teruskan momentum positif naik 10.85 mata, sektor teknologi melonjak lebih 2% - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 20 Feb – Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) meneruskan momentum positif apabila ditutup meningkat 10.85 mata atau 0.62% kepada 1,752.11 mata semalam, disokong kenaikan dalam kebanyakan kaunter perbankan selepas mengalami tekanan sebelum ini.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, sentimen pasaran keseluruhan dilihat bertambah baik dengan penyertaan yang lebih meluas merentasi semua sektor, sekali gus mencerminkan keluasan pasaran yang sihat.

 

Kaunter yang menerajui kenaikan termasuk CIMB, YTL dan IHH, yang membantu mengangkat indeks ke paras lebih tinggi. Secara keseluruhan, 748 kaunter mencatatkan kenaikan berbanding 288 kaunter yang susut, menunjukkan sentimen pelabur yang lebih optimis.

 

Sektor teknologi menjadi tumpuan apabila melonjak lebih 2%, menjejaki pemulihan saham teknologi di Amerika Syarikat. Pergerakan itu menyaksikan indeks sektor berkenaan kembali melepasi paras purata pergerakan mudah (SMA) 200 hari, sekali gus memberi isyarat teknikal yang lebih positif.

 

Dalam pada itu, sektor perladangan dilihat bergerak dalam julat dagangan mendatar, yang berpotensi menjadi petunjuk awal kepada fasa kenaikan seterusnya dalam aliran menaik jangka sederhana.

 

Bagi dagangan hari ini, indeks penanda aras dijangka bergerak dalam julat 1,740 hingga 1,760 mata, dengan paras sokongan utama dikenal pasti pada 1,685 mata dan 1,640 mata. 

 

Sementara itu Maybank IB berkata, Kontrak Niaga Hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FKLI) terus didagangkan berhampiran paras 1,730 mata, iaitu rintangan terdahulu yang kini bertukar menjadi paras sokongan penting dalam struktur teknikal semasa.

 

Firma itu berpandangan pergerakan itu berpotensi membentuk corak ‘higher lows’ baharu, sekali gus mengukuhkan lagi aliran menaik yang sedang berlangsung.

 

"Kenaikan yang dicatatkan semalam turut memberi isyarat bahawa momentum belian kembali menguasai pasaran, selepas indeks berkenaan sekali lagi berjaya melantun daripada paras purata pergerakan eksponen (EMA) 21 hari," katanya.

 

Dalam pada itu, saham-saham tumpuan teknikal mencatatkan lonjakan selepas pasaran kembali aktif susulan cuti umum, dengan NATGATE, LSH dan UWC disyor untuk dibeli (BELI), manakala harga minyak sawit mentah (CPO) kembali berada di atas garisan aliran menaik.

 

Bagi kaunter tumpuan, NATGATE dicadangkan dengan paras henti rugi (SL) pada MYR0.905, manakala paras rintangan (R1/R2) masing-masing pada MYR1.10 dan MYR1.22.

 

LSH pula disyor BELI dengan SL pada MYR1.80 dan paras rintangan R1 dan R2 pada MYR2.24 dan MYR2.50.

 

Sementara itu, UWC dicadangkan untuk dibeli dengan SL pada MYR3.75, manakala R1 dan R2 masing-masing pada MYR4.58 dan MYR5.05. - DagangNews.com