KUALA LUMPUR 17 Mac — KJTS Group Berhad membentuk usaha sama (JV) dengan firma pelaburan alternatif yang mengkhususkan dalam infrastruktur dan aset sebenar, Stonepeak, melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu KJ Technical Services Sdn Bhd (KJTS SB).
Penyedia penyelesaian penyejukan cekap tenaga itu berkata, ia akan memegang 90 peratus kepentingan ekuiti dalam perkongsian itu manakala selebihnya dipegang oleh KJTS SB.
Entiti JV itu menyasarkan pelaburan sehingga RM1.5 bilion dalam aset infrastruktur penyejukan untuk menyokong permintaan tenaga Malaysia yang semakin meningkat dan mempercepatkan peralihan ke arah penyelesaian penyejukan yang lebih mampan.
"Kerjasama ini akan distrukturkan melalui entiti yang baharu ditubuhkan sebagai syarikat JV, yang akan menumpukan kepada pembangunan dan pelaburan dalam dan/atau memiliki aset penyejukan daerah di Malaysia," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
Langkah itu sejajar dengan peningkatan pembandaran dan potensi peningkatan kos tenaga yang mendorong kepada permintaan untuk rumusan penyejukan yang cekap dan dijangka berkembang secara ketara di Malaysia.
Dengan memanfaatkan teknologi inovatif, penyelenggaraan ramalan dan pengoptimuman dipacu data, syarikat JV itu katanya, menyasarkan untuk meningkatkan kecekapan, mengurangkan penggunaan tenaga dan menyokong cita-cita 'bersih-sifar' Malaysia.
Kedua-dua syarikat tersebut berkata, mereka percaya pelaburan itu sejajar dengan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga Malaysia 2024, Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Nasional 2016–2025, serta Pelan Induk Teknologi Hijau 2021–2030.
“Ia juga melengkapkan Inisiatif 'Cool ASEAN' yang meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam kemajuan infrastruktur penyejukan serantau. Kami percaya dapat menyediakan platform kukuh untuk mengembangkan rumusan penyejukan yang mengurangkan kebergantungan kepada kaedah penyejukan intensif tenaga tradisional,” tambah mereka.
KJTS SB kata kenyataan itu, akan mengetuai usaha pengenalpastian dan pemerolehan aset sambil memastikan penjajaran dengan strategi peralihan tenaga.
Dalam menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyelenggaraan, KJTS SB akan menggunakan kepakaran kejuruteraannya untuk menyampaikan penyelesaian penyejukan berkecekapan tinggi.
Selain itu, sebagai penyedia perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan, KJTS SB akan melaksanakan jaminan berasaskan prestasi untuk memaksimumkan kecekapan, kebolehpercayaan dan penjimatan kos untuk pengguna akhir.
"Stonepeak akan menyumbangkan modal kewangan dan pengawasan strategik, membimbing strategi pelaburan dan pengembangan portfolio syarikat JV. Dengan pengalaman luas dalam pelaburan infrastruktur global, Stonepeak membawa hubungan industri yang berharga dan kepakaran dalam skala projek peralihan tenaga berimpak tinggi," katanya.
Syarikat JV tersebut distrukturkan untuk mengimbangi kepimpinan kewangan dengan kepakaran operasi, memastikan model yang mampan dan berskala untuk kejayaan jangka panjang.
Kedua-dua pihak telah bersetuju dengan protokol tadbir urus yang jelas, termasuk pembuatan keputusan berstruktur, pelaporan kewangan dan pematuhan piawaian kawal selia antarabangsa.
KJTS SB juga akan menggunakan pemantauan sistem masa nyata lanjutan, penyelenggaraan ramalan dan teknik pengoptimuman dipacu data untuk meningkatkan kecekapan operasi aset penyejukan.
“Perkongsian kami dengan Stonepeak merupakan langkah penting dalam mengembangkan jejak infrastruktur penyejukan kami,,” kata Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Azura Azman.
Apabila permintaan untuk penyejukan mampan meningkat, usaha sama ini jelas beliau, mengukuhkan keupayaan KJTS untuk menyampaikan penyelesaian yang cekap, berskala yang menyokong peralihan tenaga dan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dengan sasaran pelaburan sehingga RM1.5 bilion, inisiatif ini menggariskan potensi jangka panjang sektor penyejukan Malaysia.
Dengan memodenkan infrastruktur dan meningkatkan aset penyejukan kecekapan tinggi, syarikat JV menyasarkan untuk menetapkan standard baharu bagi penyelesaian penyejukan cekap tenaga di rantau ini. - DagangNews.com








