KUALA LUMPUR 8 Mei – KJTS Group Berhad mengambil langkah strategik apabila merombak struktur kontrak yang melibatkan lapan pusat beli-belah KIPMall bagi mengurangkan komitmen modal awal.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, usaha tersebut dijangka memperkukuh kedudukan kewangan untuk dapat meneroka lebih banyak projek yang seumpamanya pada masa hadapan.
Tambahnya, ia dilaksanakan menerusi perjanjian baharu yang membolehkan syarikat usaha sama (JV), Lestari Cooling Energy Sdn Bhd mengambil alih peranan pemilikan aset dan pelaburan modal projek.
"KJTS pula akan terus bertanggungjawab terhadap pelbagai kerja 'retrofit', pembekalan air sejuk serta operasi dan penyelenggaraan bagi semua pusat beli-belah terbabit," kata kumpulan tersebut.
Struktur baharu ini mengurangkan keperluan modal pendahuluan, mengukuhkan kunci kira-kira dan membolehkan model perniagaan sama diperluaskan melalui Lestari sebagai platform pelaburan khusus.
Langkah itu juga ujarnya, penting bagi memelihara kedudukan tunai dan kemudahan kredit syarikat tersebut memandangkan lebih banyak lagi peluang projek serupa dijangka muncul pada masa hadapan.

Menerusi JV ini, KJTS memegang 10% ekuiti dalam Lestari, Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] (KWAP)] memiliki 30% dan firma pelaburan Amerika Syarikat, Stonepeak pula menguasai baki 60%.
"Syarikat JV berkenaan ditubuhkan bagi membangunkan aset penyejukan daerah dan pengagihan elektrik di Malaysia," jelasnya. Tahun lalu, KJTS meraih kontrak KIP Real Estate Investment Trust (REIT).
Ia melibatkan kerja 'retrofit' sistem penyejukan di tujuh pusat beli-belah dengan perbelanjaan modal RM25.27 juta sebelum kontrak diperluaskan kepada lapan pusat beli-belah pada Oktober 2025.
Menurut syarikat berkenaan, kerja-kerja yang ditetapkan bagi lima pusat beli-belah tersebut sudah siap, manakala satu lagi premis dijangka dapat dilengkapkan antara Mei hingga Julai tahun ini.
Lestari akan membayar RM19 juta bagi kerja 'retrofit' melibatkan enam lokasi KIPMall, sementara kerja 'retrofit' bagi dua lagi pusat beli-belah dengan kos sekitar RM4 juta akan ditanggung KJTS.
"Perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan serta pembekalan air sejuk untuk kesemua lapan lokasi tersebut dijangka diteruskan sehingga Julai 2046," katanya. - DagangNews.com








