KJTS beli unit penyejukan cekap tenaga Malakoff secara dengan tunai RM66.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KJTS beli unit penyejukan cekap tenaga Malakoff secara dengan tunai RM66.5 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - KJTS Group Berhad (KJTS) bakal mengambil alih keseluruhan pegangan ekuiti dalam unit penyejukan cekap tenaga Malakoff Corp Berhad (Malakoff) iaitu Malakoff Utilities Sdn Bhd secara dengan tunai RM65.5 juta.


 

Langkah itu bertujuan melonjakkan operasi KJTS dengan memanfaatkan kepakaran dalam penyelesaian penyejukan cekap tenaga untuk meningkatkan prestasi Malakoff Utilities, menurut kenyataan penyedia perkhidmatan sokongan bangunan tersenarai Pasaran ACE Bursa Malaysia itu.


 

“Malakoff Utilities memiliki dan mengendalikan sistem penyejukan berskala besar yang membekalkan air sejuk untuk penyaman udara kepada 10 bangunan utama di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral),” kata KJTS dalam satu kenyataan berasingan.

 


Bangunan-bangunan dalam salah satu hab komersial dan transit paling terkenal di Malaysia ini termasuk Plaza Sentral Blok 1, 2, 3, 4, NU Sentral Mall, Menara Shell, Ascott Sentral, Aloft Hotel dan NU Tower 1 dan 2.


 

Selain sistem penyejukan, KJTS menyatakan bahawa Malakoff Utilities juga memiliki lesen eksklusif daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk mengagihkan sehingga 135MW tenaga elektrik di KL Sentral.


 

Pengerusinya, Azura Azman berkata, pengambilalihan itu ‘dengan ketara’ bakal meningkatkan hasil perolehan KJTS dan turut memperluaskan lagi tahap keupayaan perkhidmatan syarikat berkenaan.


 

"Kami yakin dalam usaha membuka kunci kecekapan yang lebih besar dan nilai jangka panjang, mengukuhkan komitmen kami terhadap penyelesaian penyejukan yang mampan dan berprestasi tinggi," tambahnya.

 


Menurut KJTS, Malakoff Utilities mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.03 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY2023), RM1.27 juta pada FY2022 dan RM1.53 juta pada FY2021.


 

Rekod pendapatan syarikat itu pula berjumlah masing-masing RM172.44 juta pada FY2023, RM124.56 juta pada FY2022 dan RM105.68 juta pada FY2021.

 


Sementara itu, menghuraikan rasional pertimbangan pembelian RM65.5 juta, KJTS berkata amaun tersebut berdasarkan nilai perusahaan Malakoff Utilities sebanyak RM64.1 juta dan pelarasan perbelanjaan modal RM1.4 juta.


 

Berhubung dengan pengambilalihan itu, KJTS menyatakan bahawa ia telah mencadangkan variasi dalam penggunaan hasil yang dijana daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) pada Januari 2024.


 

Di bawah perubahan itu, RM44.42 juta daripada hasil IPOnya akan digunakan untuk membiayai pemerolehan Malakoff Utilities manakala baki RM21.08 juta daripada pertimbangan pembelian akan dibiayai melalui dana dijana secara dalaman dan/atau pinjaman.


 

Sebelum ini, bahagian RM44.42 juta daripada hasil IPO akan digunakan untuk pengembangan segmen tenaga penyejuk melalui pembiayaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan sistem tenaga penyejukan, serta pembesaran pejabatnya di Malaysia, Thailand dan Singapura.


 

“Walaupun syarikat masih berhasrat untuk mengembangkan segmen tenaga penyejuk sedia ada, ia akan dibuat melalui cadangan pengambilalihan berbanding rancangan awal seperti dilaporkan dalam prospektus IPO,” tambahnya.


 

Pengambilalihan Malakoff Utilities oleh KJTS dijangka selesai pada suku kedua 2025. Hong Leong Investment Bank telah dilantik sebagai penasihat utama KJTS untuk kedua-dua cadangan. - DagangNews.com