KUALA LUMPUR 10 Jun — Kumpulan Kitacon Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Kitacon Sdn Bhd, memperoleh kontrak daripada GLM Emerald West (Rawang) Sdn Bhd yang bernilai RM87.88 juta.
Kontrak terkini berkenaan melibatkan kerja-kerja pembangunan utama, termasuk aktiviti luaran, sampingan dan infrastruktur, untuk pembinaan sejumlah 106 unit banglo di Rawang, Selangor.
"Projek ini dijadualkan bermula pada 13 Jun 2025, dan ia perlu disiapkan dalam tempoh 25 bulan," kata kumpulan tersebut dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Kitacon berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan seterusnya sehingga tamat tempoh projek.
Dengan pemerolehan terbaharu itu, ia telah menerima pelbagai kontrak yang bernilai RM347.58 juta tahun ini, menjadikan keseluruhan buku tempahan tertunggaknya kepada RM1.307 bilion.
Terdahulu, pada 10 Februari 2025, kumpulan itu memperoleh kontrak bernilai RM104.3 juta bagi kerja-kerja pembinaan 20 unit kilang berkembar di Bandar Bukit Raja III, Klang, Selangor. - DagangNews.com








