KHK Land, Bell Textron bekerjasama jadikan Anyara Hills perintis perumahan akses helikopter pertama di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KHK Land, Bell Textron bekerjasama jadikan Anyara Hills perintis perumahan akses helikopter pertama di Asia Tenggara

Gambar/ Laman web Anyara Hills
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Okt – Pemaju hartanah KHK Land Sdn Bhd mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat aeroangkasa Amerika Syarikat, Bell Textron Inc, bagi menawarkan kemudahan akses helikopter terus ke kawasan perumahan, menjadikan Anyara Hills sebagai pembangunan kediaman pertama di Malaysia dan Asia Tenggara dengan ciri eksklusif ini.

 

Terletak hanya 25 minit dari pusat bandar Kuala Lumpur, pembangunan perbandaran berkonsepkan alam semula jadi ini merangkumi tapak helikopter (helipad) sebagai sebahagian daripada pelan induknya, bagi membolehkan mobiliti udara ke seluruh Semenanjung Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif KHK Land, Datuk Reeno Kong berkata, konsep itu tercetus ketika pandemik Covid-19, apabila ramai terkurung di rumah.

 

khk land
William Dickey (dua dari kiri) bersama Tan Sri Kong Hon Kong, Datuk Reeno Kong (tiga dari kanan) dan Dave Hoong (dua dari kanan) pada majlis mengumumkan kerjasama KHK Land dan Bell Bell Textron.

 

Beliau menjelaskan pengasas KHK Land, Tan Sri Kong Hon Kong, melihat projek banglo konvensional tidak mampu menyokong gaya hidup jangka panjang semasa perintah kawalan pergerakan, terutamanya dari sudut ruang, keselamatan dan keperluan kendiri.

 

Sementara itu Pengarah Pembangunan Perniagaan Bell Textron Asia, William Dickey, berkata kerjasama ini bukan sekadar usaha komersial, tetapi mencerminkan nilai bersama dan hubungan jangka panjang.

 

“Pelanggan kami dianggap seperti keluarga. Kami teruja untuk membina masa depan bersama KHK Land,” katanya.

 

Helipad kediaman bukan hanya satu kemewahan, malah menjadi simbol kepada gaya hidup baharu pasca pandemik, yang menekankan aspek ketersambungan, keselamatan, dan kendiri di luar pusat bandar.

 

Anyara Hills dibina di tepi hutan hujan Banjaran Titiwangsa, dengan lebih 70% kawasan diperuntukkan kepada zon hijau, menjadikan ia antara pembangunan kediaman paling lestari dan eksklusif di Lembah Klang.

 

Setiap pemilik lot ditawarkan pegangan bebas satu ekar, memberikan fleksibiliti untuk membina kediaman kendiri dengan ciri keselamatan dan privasi tersendiri.

 

Ketua Pegawai Operasi KHK Land, Dave Hoong berkata, dengan jalan pintas baharu yang bakal siap, kediaman ini menawarkan keseimbangan unik antara akses bandar dan suasana alam, sesuatu yang sukar didapati di Lembah Klang.

 

Selain helipad, pembangunan Anyara Hills juga merangkumi hab gaya hidup moden, spa air panas semula jadi dan sistem keselamatan berteknologi tinggi, termasuk lebih 200 CCTV, rondaan dron, serta kehadiran anggota keselamatan bersenjata 24/7.

 

KHK Land turut menyasarkan segmen pembeli yang mengutamakan kehidupan berkonsep kendiri, eksklusif dan berprestij tinggi, termasuk pembeli antarabangsa. - DagangNews.com