KUALA LUMPUR 6 Nov – Khee San Bhd, pengeluar gula-gula yang kini dikategorikan sebagai syarikat PN17 melancarkan Tawaran Hak Boleh Serah Bersama Waran sebagai langkah pelan pemulihannya.
Khee San berkata, langkah itu penting sebagai permulaan untuk syarikat memperkukuh kedudukan kewangannya dan keluar daripada status syarikat PN17.
Syarikat itu berkata, cadangan itu telah diluluskan oleh Bursa Malaysia Securities Bhd dan pemegang sahamnya melibatkan terbitan sehingga 960.96 juta saham biasa baharu atas dasar tujuh saham hak bagi setiap satu saham sedia ada yang dipegang.
“Saham hak ini akan diterbitkan bersama sehingga 549.12 juta waran boleh tanggal percuma, atas dasar empat waran bagi setiap tujuh saham hak yang dilanggan, pada harga terbitan RM0.10 sesaham.
“Tarikh kelayakan bagi pemegang saham ditetapkan pada 20 November 2025,” kata Khee San.
Syarikat itu menyasarkan untuk mengumpul antara RM65 juta hingga RM96.1 juta, bergantung kepada tahap langganan.
“Hasil kutipan ini akan digunakan terutamanya bagi menyelesaikan hutang kepada pemiutang di bawah skim penstrukturan dan menyokong keperluan modal kerja kumpulan sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan keseluruhan.
Pelan pemulihan tersebut, yang diluluskan oleh Bursa Malaysia pada 19 Ogos 2024, merangkumi strategi menyeluruh termasuk terbitan hak bersama waran, skim pengaturan dengan pemiutang, pengurangan modal saham sebanyak RM137.52 juta, serta penubuhan skim saham pekerja.
Kumpulan itu memaklumkan bahawa Bursa telah memberikan lanjutan masa sehingga 18 Februari 2026 untuk menyelesaikan pelan tersebut.
“Syarikat optimis dengan pelaksanaan semua inisiatif ini, Khee San akan berada pada kedudukan kukuh untuk keluar daripada status PN17.
“Khee San juga mahu meneruskan empayar perniagaan legasi lebih 70 tahun ini sebagai jenama tempatan yang dipercayai di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








