Khazanah intai peluang pelaburan AI bersama entiti dana kekayaan berdaulat Perancis, Itali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah intai peluang pelaburan AI bersama entiti dana kekayaan berdaulat Perancis, Itali

KUALA LUMPUR 8 Julai (Bernama) – Khazanah Nasional Bhd telah mengadakan beberapa siri pertemuan produktif dengan dana kekayaan berdaulat Perancis dan Itali bagi meneroka kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada bagaimana syarikat-syarikat dari Malaysia, Perancis dan Itali boleh bekerjasama di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

 

“Kami berbincang mengenai kerjasama dalam inovasi teknologi, termasuk juga potensi kolaborasi antara syarikat bersaiz sederhana dari negara mereka dan negara kita.

 

“Kami sedar bahawa kami berdepan isu yang sama — bagaimana untuk kekal berdaya saing di peringkat global melalui kecerdasan buatan dan inovasi, serta mencari pasaran-pasaran baharu,” katanya kepada media di Brazil selepas tamat lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali, Perancis dan Brazil.

 

 

Datuk Amirul Feisal Wan Zahir
                                Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

 

Khazanah merupakan sebahagian daripada delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi tersebut yang bermula pada 1 Julai, bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala serta merancakkan kerjasama perdagangan dan ekonomi.

 

Antara syarikat utama lain yang turut serta dalam delegasi tersebut termasuk Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malayan Banking Bhd (Maybank), FGV Holdings Bhd dan YTL Power International Bhd.

 

Amirul Feisal berkata, Khazanah telah menjalinkan kerjasama selama dua tahun bersama Cassa Depositi e Prestiti, institusi promosi nasional Itali, serta tiga tahun bersama Bpifrance, iaitu Banque Publique d’Investissement, Perancis.

 

Lawatan rasmi ke Rom, Paris dan Rio de Janeiro itu juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh hubungan diplomatik serta komersial dengan rakan ekonomi utama. Secara keseluruhan, nilai dagangan dua hala Malaysia dengan Itali, Perancis dan Brazil mencecah RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion) tahun lalu.

 

Khazanah mencatatkan pulangan tahunan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2024 dengan kadar pulangan terwajaran nilai aset bersih (NAV TWRR) sebanyak 24.6 peratus, melonjak berbanding 5.7 peratus pada tahun sebelumnya.

 

Jumlah nilai portfolio Khazanah atau Nilai Aset Boleh Direalisasi (RAV) meningkat kepada RM151.3 bilion manakala keuntungan operasi pula mencecah RM5.1 bilion. - BERNAMA