Khairi Shahrin dan Alan Inn dilantik terajui CGS MY mulai 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khairi Shahrin dan Alan Inn dilantik terajui CGS MY mulai 2026

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 NovCGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGSI) memaklumkan pertukaran kepimpinan baharu yang bakal berkuat kuasa 1 Januari 2026, sekali gus menandakan fasa seterusnya dalam strategi pengukuhan CGS International (CGSI) di Malaysia dan rantau ini.

 

Dalam kenyataan itu, Khairi Shahrin Arief Baki dan Alan Inn Wei Loon, yang kini menyandang jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, akan mengambil alih peranan masing-masing sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Country Head mulai tahun depan. Kedua-duanya akan berfungsi sebagai CEO-designate dan Country Head-designate mulai 1 Disember 2025.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Azizah Mohd Yatim, akan bersara daripada jawatannya berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Di bawah kepimpinan Azizah, CGS MY kekal No.1 ejen bursa Bursa Malaysia untuk lebih separuh tahun 2025

 

Menurut CGSI, sumbangan Azizah sejak memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada awal 2023 telah menjadi pemacu utama deretan pencapaian syarikat. 

 

Ini termasuk mengekalkan status ejen bursa No.1 di Bursa Malaysia untuk lebih separuh daripada 2025, serta mencapai nilai dagangan lebih RM120 bilion setakat Oktober 2025.

 

CGS MY turut melancarkan beberapa produk kewangan baharu yang pertama dalam pasaran dan menjadi rakan pilihan agensi serta pengawal selia pasaran modal. 

 

Perkhidmatan kumpulan turut berkembang merangkumi pengurusan kekayaan dan aset, portfolio derivatif serta Islamik yang lebih pelbagai, perbankan pelaburan dan penyelesaian kemampanan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CGS International, Carol Fong berkata pencapaian CGS MY sejak dua tahun lalu adalah hasil kerjasama erat antara Azizah, Khairi dan Alan.

 

“Lembaga dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Azizah atas kepimpinan dan sumbangannya kepada Kumpulan. Dengan Khairi dan Alan, syarikat mencapai pelbagai kejayaan termasuk nilai dagangan melebihi RM120 bilion sehingga Oktober 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, CGSI kekal komited membina kedudukan sebagai rumah pelaburan global Asia dengan memanfaatkan rangkaian China–ASEAN, diperkukuh melalui hubungan pemegang sahamnya, China Galaxy Securities.

 

Mengulas pelantikannya, Khairi berkata beliau berterima kasih kepada Lembaga dan Kumpulan atas kepercayaan yang diberikan.

 

“Kami akan memacu kepimpinan strategik dan operasi dengan memanfaatkan kefahaman mendalam kami mengenai pasaran serantau dan global. Kami juga komited memperkukuh CSR, khususnya dalam mempromosi literasi pelaburan,” katanya.

 

Alan pula berkata dua tahun kebelakangan ini menyaksikan CGS MY membina rangkaian serta hubungan rentas sempadan yang semakin kukuh.

 

“Warisan unik China memberi kami kelebihan besar untuk menerajui perbincangan strategik China–Malaysia dan China–ASEAN dalam aspek kerjasama rentas sempadan, M&A dan penyenaraian. Saya berterima kasih atas sokongan yang diberikan,” katanya.

 

Menurut CGSI, pelantikan baharu ini akan memperkukuh struktur tadbir urus dan prestasi syarikat ketika CGS MY terus mengembangkan portfolio perbankan pelaburan, pengurusan kekayaan dan aset, sambil mengekalkan posisi sebagai ejen bursa nombor satu di Bursa Malaysia. - DagangNews.com