KUALA LUMPUR 18 Nov – Keyfield International Berhad terus mengukuhkan kedudukan kewangannya apabila melupuskan salah sebuah aset utama, kapal Dynamic Positioning 2 Accommodation Workboat (DP2 AWB) miliknya, Keyfield Compassion (CPS), dengan keuntungan bersih dianggarkan RM85 juta.
Dalam kenyataan kepada media, Keyfield memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Resolute Sdn Bhd (KRSB), telah menandatangani Memorandum Perjanjian untuk menjual CPS kepada Petro Laut Sdn Bhd (PLSB) dengan nilai tunai USD36.8 juta, bersamaan RM151.9 juta.
PLSB merupakan sebahagian daripada kumpulan Mashhor dari Brunei, yang mempunyai lebih 45 tahun pengalaman dalam menyediakan rangkaian perkhidmatan komprehensif dalam bidang perkhidmatan darat dan luar pesisir, termasuk fasiliti hidrokarbon, operasi marin, pengangkutan, logistik dan penyelesaian kejuruteraan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata, pelupusan ini membolehkan syarikat membuka nilai CPS, membawa keuntungan selepas cukai kira-kira RM85.0 juta kepada Kumpulan kami.
"Walaupun CPS telah menjana keuntungan operasi untuk Keyfield sejak 2022 ketika kami memperolehnya, pelupusan ini hadir pada masa yang tepat kerana kami baru sahaja menyelesaikan pengambilalihan Carimin Acacia (kini dinamakan semula sebagai Keyfield Harmony).
"Kami juga telah menandatangani kontrak pembinaan kapal pada Jun 2024 untuk membina sebuah DP2 AWB. Kedua-dua ini akan memastikan kami mempunyai bekalan berterusan DP2 AWB yang sesuai untuk berkhidmat kepada pelanggan kami," katanya.
Menurut beliau, hasil tunai daripada pelupusan itu akan digunakan untuk menyokong rancangan peluasan armada bagi memenuhi permintaan pasaran terhadap kapal sokongan luar pesisir berteknologi tinggi.
“Kami juga berhasrat untuk mengisytiharkan sebahagian daripada keuntungan pelupusan sebagai dividen kepada pemegang saham, selaras dengan amalan pembayaran dividen kami.
"Jumlah serta tarikh pengagihan akan diumumkan selepas transaksi selesai,” tambahnya.
Dengan pelupusan ini, Keyfield dijangka mengekalkan momentum kewangan yang kukuh, selain memperkukuh kedudukannya sebagai penyedia utama kapal sokongan luar pesisir di rantau ini. - DagangNews.com








