Keyfield beli satu lagi kapal, DP2 Carimin Acacia berharga RM76 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keyfield beli satu lagi kapal, DP2 Carimin Acacia berharga RM76 juta

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 Sept - Keyfield International Berhad hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Marine Sdn Bhd (KMSB), akan memperoleh sebuah kapal Dynamic Positioning 2 (DP2) Accommodation Work Boat bernama Carimin Acacia dengan pertimbangan tunai sebanyak RM76 juta.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, syarikat perkhidmatan luar pesisir itu berkata pembelian yang dikenali sebagai Cadangan Perolehan Acacia (Proposed Acacia Acquisition) itu akan memperkukuh operasi penyewaan kapal syarikat menerusi penambahan aset marin strategik.

 

Kapal dengan berat mati (deadweight) 3,066 tan itu dijangka diserahkan menjelang Disember 2025 dan boleh beroperasi tanpa pembaikan utama sehingga pertengahan Mac 2026.

 

Selepas tempoh tersebut, pemeriksaan khas kedua perlu dilakukan — dianggarkan menelan belanja antara RM10 juta hingga RM13 juta serta mengambil masa kira-kira 60 hari — bagi memperbaharui semua sijil statutori dan klasifikasi berkaitan.

 

Keyfield berkata nilai buku bersih (NBV) kapal tersebut adalah RM71.4 juta setakat 30 Jun 2024 dan RM68.3 juta setakat 31 Mac 2025.

 

Penilaian bebas oleh Armal Marine and Offshore Sdn Bhd bertarikh 22 Ogos 2025 menetapkan nilai pasaran saksama pada AS$18.08 juta (kira-kira RM76.26 juta). Harga pembelian itu mewakili diskaun kecil 0.3% berbanding nilai pasaran tersebut.

 

“Perolehan ini membolehkan kami menambah kapal berkenaan ke dalam armada untuk menjana keuntungan apabila kami berjaya mengerahkan ia dalam operasi penyewaan kami,” kata syarikat itu dalam kenyataan berkenaan.

 

Keyfield turut mengesahkan, penjual memberi jaminan kapal akan diserahkan bebas daripada sebarang bebanan (encumbrances).

 

Perolehan ini tidak melibatkan sebarang jaminan keuntungan, manakala nisbah peratusan tertinggi di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia ialah 10.73%, berdasarkan penyata kewangan teraudit Keyfield bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

 

Memorandum Perjanjian (MOA) dan laporan penilaian kapal berkenaan tersedia untuk semakan di pejabat berdaftar syarikat di Kuala Lumpur selama tiga bulan dari tarikh pengumuman ini. - DagangNews.com