Keuntungan Top Glove dijangka kekal mendatar pada suku kedua FY2026 - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Top Glove dijangka kekal mendatar pada suku kedua FY2026 - Phillip Capital

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Mac - Prestasi keuntungan Top Glove Corporation Bhd bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2026 (Q2FY26) dijangka kekal mendatar berbanding suku sebelumnya susulan peningkatan permintaan dan kadar penggunaan kilang yang diimbangi oleh harga sarung tangan yang lebih rendah serta pengukuhan ringgit.

 

Menurut Phillip Capital Research (PhillipCapital), pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dijangka mencatat keuntungan suku tahunan sekitar RM35 juta, hampir tidak berubah berbanding suku sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penambahbaikan operasi seperti kadar penggunaan kilang yang lebih tinggi dan peningkatan jumlah penghantaran dijangka diimbangi oleh penurunan kecil harga jualan purata (ASP) serta kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

 

Jumlah jualan diunjurkan meningkat kira-kira 3% suku ke suku kepada 11.6 bilion unit, disokong oleh penghantaran yang lebih kukuh ke Eropah selepas kumpulan itu memperoleh tender baharu, manakala permintaan dari Amerika Syarikat dijangka kekal mendatar.

 

Phillip Capital turut menjangkakan kadar penggunaan kilang Top Glove meningkat kepada sekitar 75% berbanding 73% pada suku sebelumnya, selari dengan pemulihan beransur-ansur permintaan sarung tangan global.

 

Tempoh menunggu pesanan juga dilaporkan meningkat kepada antara 45 hingga 60 hari berbanding 30 hingga 40 hari sebelum ini, sekali gus mencerminkan momentum pesanan yang semakin kukuh.

 

Dalam pada itu, Top Glove merancang untuk mengaktifkan semula empat kilang menjelang akhir tahun kewangan 2026 yang dijangka meningkatkan kapasiti operasi kepada kira-kira 70 bilion sarung tangan setahun berbanding 65 bilion ketika ini.

 

Bagaimanapun, kadar pengaktifan semula kilang tersebut bergantung kepada kesinambungan pesanan yang diterima.

 

Pada masa sama, syarikat itu dijangka menaikkan harga sarung tangan secara berperingkat susulan peningkatan kos nitril lateks.

 

Ketika ini, harga jualan purata sarung tangan nitril di pasaran Amerika Syarikat berada dalam julat AS$17 hingga AS$18 bagi setiap 1,000 unit, manakala di Eropah sekitar AS$15 hingga AS$16 bagi setiap 1,000 unit.

 

Namun begitu, persaingan dalam industri kekal sengit apabila pengeluar dari China terus meningkatkan kapasiti pengeluaran termasuk pembukaan kilang baharu di Indonesia yang menawarkan harga lebih rendah bagi meningkatkan kadar penggunaan kilang.

 

Walaupun demikian, pengurusan Top Glove percaya kesan daripada persaingan tersebut masih boleh dikawal memandangkan skala operasi serta kelebihan kos yang dimiliki syarikat.

 

Phillip Capital mengekalkan saranan “pegang” terhadap saham Top Glove, namun menurunkan harga sasaran 12 bulan kepada 54 sen daripada 60 sen sebelum ini selepas menyemak semula gandaan penilaian.

 

Menurut firma penyelidikan itu, penilaian yang lebih rendah mencerminkan cabaran struktur berterusan dan lebihan kapasiti global yang dijangka terus memberi tekanan terhadap jumlah jualan serta margin keuntungan.

 

Walaupun berdepan tekanan jangka pendek, Phillip Capital menjangkakan pendapatan Top Glove akan pulih secara beransur-ansur sepanjang tempoh tahun kewangan 2026 hingga 2028 apabila kadar penggunaan kilang meningkat dan permintaan sarung tangan global kembali normal.

 

Top Glove dijangka mengumumkan prestasi kewangan Q2FY26 minggu depan. - DagangNews.com