Keuntungan Senheng merosot 51% pada 9MFY2025 ekoran kos tinggi, permintaan berkurangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan Senheng merosot 51% pada 9MFY2025 ekoran kos tinggi, permintaan berkurangan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Nov – Senheng New Retail Berhad mencatatkan untung bersih RM6.59 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025 (9MFY2025) merosot hampir 51% berbanding RM13.49 juta bagi tempoh yang sama tahun 2024.

 

Bagi suku ketiga 2025, untung bersih syarikat ialah RM661,105 menurun daripada RM3.62 juta pada suku ketiga 2024. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Senheng berkata, penurunan ini didorong terutamanya oleh kos operasi yang lebih tinggi serta permintaan produk elektronik pengguna yang lebih perlahan akibat sentimen pengguna yang berhati-hati.

 

“Pendapatan kumpulan bagi 9MFY2025 pula menurun 9.7% kepada RM820.1 juta daripada RM908.6 juta pada 2024.

 

“Keuntungan kasar turut merosot 7.5% kepada RM175.6 juta berbanding RM189.8 juta tahun sebelumnya, didorong oleh perubahan campuran produk dan penurunan jualan,” kata Senheng.

 

Bagi suku ketiga 2025, pendapatan Senheng kekal stabil pada RM272.7 juta, sedikit merosot 2.2% berbanding RM279 juta pada suku ketiga 2024. 

 

Keuntungan sebelum cukai pula susut 54.9% kepada RM2.1 juta daripada RM4.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh kos operasi yang lebih tinggi walaupun keuntungan kasar meningkat.

 

Syarikat menjangkakan keputusan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 akan terus berada di bawah tekanan berikutan sentimen pasaran yang berhati-hati dan kos sara hidup yang tinggi.

 

Bagaimanapun, Senheng kekal fokus pada inisiatif pertumbuhan melalui empat teras strategi utama, termasuk pengukuhan ekosistem kesetiaan S-Coin, mengoptimumkan nilai purata pembelian, pengembangan saluran Online-Merge-Offline (OMO), serta peningkatan kecekapan operasi berasaskan data.

 

Untuk mendorong pertumbuhan pelanggan dan penggunaan S-Coin, syarikat juga melancarkan kempen "Untung Gila" dan memperluas pusat penebusan S-Coin di kedai fizikal terpilih bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan nilai S-Coin. - DagangNews.com