Keuntungan bersih OSK Holdings naik 11% kepada RM152.2 juta pada 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keuntungan bersih OSK Holdings naik 11% kepada RM152.2 juta pada 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – OSK Holdings Berhad mencatat prestasi suku ketiga 2025 (3QFY2025) yang lebih baik dengan pertumbuhan merentas segmen utama perniagaan, dipacu terutamanya oleh segmen Perkhidmatan Kewangan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, OSK Holdings berkata, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM496.7 juta, meningkat 3% berbanding RM481 juta pada tempoh sama tahun lalu, 

 

“Keuntungan sebelum cukai naik 5% kepada RM164.6 juta. Keuntungan daripada perniagaan operasi meningkat 9% kepada RM87.3 juta, manakala keuntungan daripada aktiviti pelaburan naik 2% kepada RM91.6 juta. 

 

“Keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat pula meningkat 11% kepada RM152.2 juta berbanding RM137.24 juta pada tempoh sama sebelumnya,” kata OSK Holdings dalam makluman tersebut.

 

Bagi sembilan bulan pertama 2025 (9M2025), Kumpulan merekodkan hasil RM1.4 bilion, meningkat 16% berbanding RM1.2 bilion pada 9MFY2024  manakala keuntungan sebelum cukai naik 5% kepada RM460.2 juta. 

 

OSK Holdings berkata, keuntungan daripada perniagaan operasi meningkat 11% kepada RM238.2 juta, manakala keuntungan daripada aktiviti pelaburan naik 1% kepada RM263.8 juta. 

 

“Keuntungan yang diagihkan kepada pemilik syarikat meningkat 8% kepada RM418.5 juta. Segmen Perkhidmatan Kewangan mencatat peningkatan hasil 37% kepada RM77.9 juta dan keuntungan sebelum cukai naik 27% kepada RM32.1 juta bagi 3Q2025.

 

“Prestasi ini disokong oleh pengembangan portfolio pembiayaan modal dan pengguna di Malaysia dan Australia, dengan jumlah pinjaman meningkat kepada RM2.7 bilion berbanding RM1.8 bilion setahun sebelumnya,” kata OSK Holdings. 

 

Kumpulan turut memperoleh 100% pegangan dalam Wilayah Credit Sdn. Bhd, menandakan kemasukan ke dalam perniagaan pembiayaan motosikal yang dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan Kumpulan.

 

Segmen Hartanah merekodkan hasil RM203.1 juta, turun 16% manakala keuntungan sebelum cukai menurun 11% kepada RM25.0 juta berbanding 3Q2024. 

 

Kumpulan berkata, penurunan ini disebabkan ketiadaan keuntungan bersih sekali sahaja sebanyak RM13.4 juta pada 2Q2024 dan pelupusan kos di Australia pada 3Q2025. 

 

“Tanpa faktor sekali sahaja, keuntungan sebelum cukai segmen meningkat 6% disokong oleh projek berjalan seperti Anya dan Nara di Shorea Park, Alia di Mori Park, LEA oleh The Hills, Hana Hills dan Rubica.

 

“Pembangunan Fasa 2 BLVD di Melbourne mencatat kadar penjualan 76% dan keuntungan akan diiktiraf apabila pembeli mengambil milikan unit dijangka awal 2027. 

 

“Jumlah jualan belum ditagih Kumpulan setakat 30 September 2025 ialah RM1.2 bilion dengan inventori siap yang tidak terjual adalah minimum. Kumpulan memiliki tanah seluas 2,474 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM18.5 bilion di Malaysia dan Australia,” katanya.

 

Segmen Perindustrian mencatat hasil RM184.0 juta, meningkat 20%, tetapi keuntungan sebelum cukai merosot 27% kepada RM12.7 juta akibat kerugian berterusan di kilang Johor yang baharu diperoleh dan proses pengaktifan semula mesin serta kos kewangan dan susut nilai tambahan.

 

Divisyen Acotec IBS terus mencatat hasil stabil dengan permintaan konsisten bagi produk sistem bangunan industri. - DagangNews.com