KUALA TERENGGANU 21 Jan – Sebanyak 28 projek strategik bakal dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tahun 2026, dengan peruntukan Rolling Plan Pertama (RP1) di bawah Rancangan Malaysia KE-13 berjumlah RM48.35 juta.
Semua projek tersebut bertujuan memperkukuh pembangunan ekonomi, keusahawanan, serta infrastruktur berimpak tinggi di wilayah Terengganu Tengah.
Pengurus Besar Ketengah Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata daripada jumlah itu, sebanyak 22 projek sambungan menelan belanja RM42.855 juta manakala enam projek baharu berjumlah RM5.5 juta.
“Projek utama yang dijangka memberi impak ekonomi termasuk Kajian Pengukuhan Cerun dan Kawalan Hakisan, Pencahayaan Pintar dan Jimat Tenaga, Ketengah Agrotech Valley, Program Pembangunan Usahawan, serta pendigitalan sistem aplikasi dalam pelancongan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2026 yang disempurnakan Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat di Dungun semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata prestasi kewangan pada tahun 2025 menunjukkan pencapaian memberangsangkan dengan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM36.436 juta atau 95.09 peratus daripada peruntukan dipinda sebanyak RM38.319 juta manakala perbelanjaan mengurus pula mencecah RM39.029 juta atau 99.47 peratus daripada peruntukan RM39.237 juta.


“Untuk perancangan akan datang, kita ada Pelan Strategik Ketengah 2025–2035 yang memfokuskan empat teras utama iaitu ekonomi, pelaburan dan keusahawanan; modal insan dan masyarakat; infrastruktur, kemudahan awam, penempatan dan alam sekitar; serta tadbir urus dan penyampaian,” katanya.
Bagi sektor keusahawanan, Ketengah menetapkan KPI bagi usahawan tani, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 orang mengadaptasi satu solusi digital dalam pertanian. Selain itu, usahawan yang menerima pembiayaan Ketengah dijangka meningkatkan pendapatan sehingga RM5,000 sebulan selepas enam bulan.
Tambahnya, Ketengah menekankan kepentingan disiplin dan budaya kerja yang tinggi bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek dan perancangan strategik.
“Disiplin dalam kehadiran, pematuhan masa, pelaksanaan tugas serta etika kerja yang berintegriti dianggap asas kejayaan organisasi.
“Selain itu, Ketengah turut memberi tumpuan kepada projek infrastruktur strategik, termasuk pemantauan projek pembangunan, sistem perparitan, dan pemasangan lampu berkuasa solar baharu bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat serta menjana pembangunan ekonomi tempatan,” katanya. - DagangNews.com








