KUALA LUMPUR 9 Mac - Ketegangan geopolitik di Timur Tengah dijangka memberi tekanan kepada kos bahan mentah pengeluar sarung tangan, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan jangka pendek walaupun asas sektor tersebut semakin bertambah baik.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, peningkatan harga minyak mentah susulan konflik berkenaan boleh meningkatkan kos bahan mentah utama seperti lateks nitril, manakala harga lateks getah asli turut berpotensi meningkat berikutan ketidaktentuan komoditi global serta faktor musim pengeluaran.
Namun begitu, kesan terhadap kos gas yang menjadi sumber tenaga utama bagi pengeluar sarung tangan Malaysia lazimnya hanya akan dirasai selepas tempoh kelewatan sekitar enam hingga lapan bulan.
"Walaupun berdepan risiko kenaikan kos dan gangguan rantaian bekalan, penilaian semasa sektor sarung tangan dilihat telah mengambil kira kebanyakan risiko penurunan susulan pembetulan harga saham kebelakangan ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini
Sehubungan itu, Maybank IB mengekalkan penarafan neutral terhadap sektor berkenaan.
Kos bahan mentah dijangka meningkat
Menurut Maybank IB, kenaikan harga minyak mentah boleh menyebabkan kos lateks nitril meningkat memandangkan bahan tersebut berkait rapat dengan harga produk berasaskan petroleum.
Pada masa sama, harga lateks getah asli juga dijangka meningkat berikutan turun naik pasaran komoditi global serta musim “wintering” yang biasanya mengurangkan pengeluaran getah.
Sehubungan itu, pengeluar sarung tangan dilaporkan telah mula berunding dengan pelanggan bagi melaksanakan kenaikan harga jualan untuk mengimbangi peningkatan kos bahan mentah.
Selain itu, harga gas juga berpotensi meningkat susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global, walaupun kesannya terhadap kos pengeluaran lazimnya hanya akan muncul selepas enam hingga lapan bulan, dijangka bermula sekitar September 2026.
Memandangkan gas merupakan sumber tenaga utama bagi pengeluar sarung tangan di Malaysia, kenaikan harga gas berpotensi menjejaskan daya saing kos berbanding pengeluar di China yang kebanyakannya menggunakan arang batu sebagai sumber tenaga.
Gangguan penghantaran boleh tangguh pengiktirafan hasil
Dalam pada itu, konflik di Timur Tengah juga berpotensi mengganggu laluan perkapalan global, khususnya laluan utama yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan Amerika Syarikat.
Walaupun kos penghantaran biasanya ditanggung oleh pelanggan, pembeli mungkin menangguhkan pengaturan penghantaran susulan peningkatan kadar tambang kapal dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik.
Keadaan itu boleh memperlahankan penghantaran pesanan dan seterusnya menangguhkan pengiktirafan hasil jualan, yang berpotensi memberi kesan kepada prestasi kewangan bermula suku Mac 2026.
Bagaimanapun, Maybank IB melihat kelewatan tersebut lebih bersifat sementara dari segi masa, dengan jualan dijangka direkodkan semula apabila keadaan logistik kembali stabil.
Risiko penurunan sudah diambil kira
Secara keseluruhan, kebimbangan terhadap kenaikan kos bahan mentah dan kelewatan penghantaran berpotensi menenggelamkan perkembangan positif sektor yang disokong oleh peningkatan teknologi pengeluaran serta inisiatif kecekapan kos.
Selain itu, sektor tersebut masih berdepan cabaran lain termasuk lebihan bekalan global serta turun naik kadar pertukaran asing.
Namun begitu, keputusan kewangan yang lebih kukuh daripada jangkaan bagi tempoh Oktober hingga Disember 2026 yang dicatatkan oleh Kossan Rubber Industries Bhd dan Hartalega Holdings Bhd menunjukkan peningkatan margin operasi serta pertumbuhan jumlah jualan yang lebih baik, sekali gus mengimbangi kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.
Dalam sektor itu, penganalisis mengekalkan saranan BELI secara taktikal terhadap Hartalega Holdings Bhd, manakala penarafan PEGANG diberikan kepada Kossan Rubber Industries Bhd dan Top Glove Corporation Bhd. - DagangNews.com








