KUALA LUMPUR 12 Nov - Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi anak syarikatnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, telah memperoleh kontrak bernilai RM56.4 juta daripada Jabatan Ketua Menteri Pulau Pinang bagi kerja-kerja pembinaan struktur bumbung keluli termasuk pembinaan pusat penjaja baharu di Jalan Gurney.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak tersebut merangkumi pembinaan struktur bumbung keluli serta kemudahan pusat penjaja dan akan dilaksanakan dalam tempoh 18 bulan bermula 12 November.
"Projek berkenaan dijangka memberi sumber pendapatan tambahan kepada kumpulan itu dalam tempoh dua tahun akan datang selain memperkukuh buku pesanan semasa syarikat," katanya.
Syarikat itu menambah, kontrak berkenaan tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan syarikat, namun dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2025 hingga 2027.
Semalam, Kerjaya Prospek mengumumkan dua anak syarikat milik penuhnya, Permatang Bakti Sdn Bhd (PBSB) dan Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM), telah menerima dua surat anugerah baharu bernilai keseluruhan RM197.7 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan.
Kerjaya Prospek dalam kenyataan hari ini berkata, kontrak pertama bernilai RM100.2 juta dianugerahkan kepada PBSB oleh Serta Usaha Sdn Bhd bagi pembangunan projek servis apartmen Viera 15 di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor.
Projek 39 tingkat itu merangkumi 479 unit kediaman serta enam aras tempat letak kereta podium.
Sementara itu, KPM memperoleh kontrak kedua bernilai RM97.5 juta daripada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd untuk membina lima jambatan terusan sepanjang 80 meter setiap satu bagi menghubungkan Fasa 2A, 2B dan 2C di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Projek tersebut akan bermula pada 24 November 2025 dan dijangka siap dalam 33 bulan. - DagangNews.com








