Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM87.66 juta daripada E&O Express bina lot kedai di Shah Alam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM87.66 juta daripada E&O Express bina lot kedai di Shah Alam

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Nov – Kerjaya Prospek Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn. Bhd memperoleh kontrak bernilai RM87.66 juta daripada Eastern & Oriental Express Sdn Bhd untuk pembinaan 133 unit lot kedai di Elmina, Shah Alam.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kerjaya Prospek berkata, projek itu dijadualkan bermula pada 17 November 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

 

“Kontrak ini dijangka menyediakan aliran pendapatan tambahan kepada Kumpulan selama tiga tahun akan datang. 

 

“Kontrak ini juga akan meningkatkan dan memperkukuh baki pesanan sedia ada, sekaligus mengekalkan momentum projek yang sedang dijalankan oleh syarikat.

 

“Dari segi kewangan, kontrak ini tidak akan menjejaskan modal saham syarikat, namun ia dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan serta aset bersih per saham bagi tahun kewangan 2025 hingga 2028,” kata Kerjaya Prospek.

 

E&O Express merupakan anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Berhad, di mana sesetengah pengarah dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya, Tee Eng Tiong berkata, syarikat telah memperoleh tujuh kontrak bernilai kira-kira RM958 juta secara keseluruhan pada tahun ini, sekaligus menaikkan jumlah baki buku pesanan kepada RM3.6 bilion.

 

“Langkah ini memperkukuh kedudukan Kumpulan dalam industri pembinaan serta memastikan aliran pendapatan yang lebih stabil bagi tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com