Kerjaya Prospek diyakini catat pertumbuhan pendapatan lebih 50 peratus pada 4QFY24, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek diyakini catat pertumbuhan pendapatan lebih 50 peratus pada 4QFY24, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Kerjaya Prospek Group Berhad diyakini mencatatkan pertumbuhan pendapatan lebih 50 peratus pada suku keempat berkahir 31 Disember 2024 (4QFY24)  berbanding tahun sebelumnya dipacu oleh sumbangan lebih tinggi daripada projek hartanah, kata RHB Research.
 

Firma itu menerusi nota kajiannya berkata, keuntungan bersih syarikat bagi 4QFY24 dijangka boleh mencecah RM35 juta hingga RM50 juta, menandakan pertumbuhan tahun ke tahun (y-o-y) kepada 52 peratus.
 

Lonjakan ini ujar RHB, didorong oleh pengebilan kemajuan yang lebih tinggi dan sumbangan besar daripada cabang pembangunan hartanah kumpulan tersebut, menerusi pelaksanaan dua projek utama secara kolektif dengan nilai kira-kira RM800 juta.
 

“Melihat ke hadapan, kami membuat unjuran FY25 untuk melihat pertumbuhan pendapatan sebanyak 17 peratus y-0-y, disokong oleh aliran stabil penambahan pekerjaan, terutama pembangunan Pulau Andaman di bawah Eastern & Oriental Bhd di Pulau Pinang,” katanya dalam satu nota kajian.
 

Projek-projek ini jelas firma penyelidikan tersebut, dengan nilai pembangunan kasar terkumpul sebanyak RM2.9 bilion, dijangka memastikan buku pesanan Kerjaya Prospek adalah sentiasa sihat.
 

Sejak 2016, syarikat tersebut telah memperoleh kira-kira RM2.4 bilion kontrak yang berkaitan dengan Pulau Andaman, termasuk kerja-kerja infrastruktur kritikal seperti pembinaan jambatan, perlindungan pantai dan pengorekan laut.
 

“Kami mendapati masih lagi terdapat lebih banyak kerja-kerja penggerudian dan penambakan tanah untuk direbut pada Fasa 2B dan 2C Pulau Andaman, yang mungkin melebihi RM300 juta,” kata RHB Research.
 

Sementara itu, pembangunan di Elmina West dijangka menyediakan aliran pendapatan selanjutnya, dengan projek berterusan termasuk kontrak sebanyak RM256 juta untuk sejumlah 360 unit kediaman.
 

RHB menjangkakan keuntungan bersih berulang Kerjaya Prospek berada sebanyak RM162 juta pada 2024, iaitu meningkat kepada RM202 juta menjelang 2026.
 

Pertumbuhan pendapatan syarikat berkenaan pula diunjurkan mampu mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 15 peratus dari FY23 hingga FY26.
 

Walaupun prospek kekal optimistik, potensi halangan termasuk situasi kelembapan dalam pasaran hartanah tempatan dan peningkatan tekanan kos yang boleh melembapkan margin.
 

Namun begitu, RHB Research memandang prospek Kerjaya Prospek berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pemulihan sektor pembinaan Malaysia, disokong oleh kerja projek saluran paip yang kukuh dan pengurusan kewangan yang teguh.
 

Penganalisis di RHB telah mengesahkan semula saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.67, membayangkan kenaikan 25 peratus bersama-sama unjuran hasil dividen kira-kira lima peratus. - DagangNews.com