KUALA LUMPUR 3 Mac - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) memeterai kerjasama strategik dengan CDC International Sdn. Bhd. (CDCi) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluaskan akses kewangan serta rumusan digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Kerjasama itu turut merangkumi inisiatif pembangunan keupayaan secara menyeluruh melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development & Research (CEDAR).
Ia menegaskan komitmen SME Bank dalam memperkasa keupayaan digital dan kewangan PMKS, mengiktiraf peranan penting mereka sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.
Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, pihaknya berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan CDCi, mencerminkan komitmen untuk membantu PMKS tempatan mencapai objektif.
"Sejak 2021, platform digital kami termasuk Enterprise Lifecycle Scoring Assessment (ELSA), ScoreXcess dan ODELA telah menyokong hampir 5,000 PMKS merentas sektor utama.
"Kerjasama ini memberi penekanan kepada pemudahcara akses pasaran dan pembangunan perniagaan melalui CDC Speed, sebuah platform perolehan digital yang menghubungkan pembekal PKS dengan pembeli besar daripada sektor awam dan swasta," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, ia selaras dengan komitmen SME Bank untuk membina ekosistem digital yang kukuh serta menyokong rangka kerja MADANI, yang memberi keutamaan kepada ekonomi digital sebagai pemacu utama pertumbuhan.
"Sejajar dengan mandat pembangunan kami, fokus akan terus diberikan kepada sektor-sektor strategik utama termasuk segmen teknologi dan digital melalui program inovatif seperti SME Technology Transformation Fund (STTF) seperti yang diamanahkan dalam Belanjawan Negara 2025.
"Sementara itu, latihan, pensijilan dan pembinaan kapasiti akan digerakkan melalui CEDAR menerusi program pembangunan keusahawanan yang melangkaui pembiayaan," ujarnya.
Tambahnya, kerjasama antara SME Bank dan CDCi bukan sahaja akan menyepadukan aspek kewangan dan teknologi, tetapi juga dapat membina ekosistem yang kukuh menerusi inisiatif pembangunan keupayaan yang berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif CDCi, Putri Nurul Ida Yahya berkata, kerjasama itu menyaksikan gabungan kepakaran SME Bank dan inovasi platform perolehan digital SPEED oleh CDCi dalam ekosistem PMKS.
"Melalui SPEED, kami bukan sekadar memudahkan transaksi, tetapi turut mengubah akses pasaran dengan membolehkan PMKS berhubung terus dengan pembeli berskala besar dalam sektor awam dan swasta.
"Inisiatif ini bakal mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan dan mengukuhkan daya saing PMKS dalam landskap ekonomi Malaysia yang semakin berkembang," jelasnya.
Katanya, dengan menyepadukan rumusan digitalnya bersama kemudahan kewangan kukuh SME Bank, CDCi mahu membuka peluang pertumbuhan baharu dan mempercepatkan peralihan digital PMKS, selaras dengan hasrat kerajaan Malaysia ke arah persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing dan berasaskan teknologi.
CDCi ialah penyedia rumusan perolehan digital yang memacu kecekapan dan inovasi dalam transaksi perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Dengan fokus terhadap pendigitalan, pengurusan vendor dan perolehan eWorks, CDCi memperkasa perniagaan serta agensi kerajaan dengan platform berasaskan teknologi yang selamat, berskala dan lancar.
Komitmen terhadap inovasi, kebolehpercayaan dan rumusan berorientasikan pelanggan menjadikan CDCi sebagai rakan yang dipercayai dalam peralihan digital.
Kerjasama strategik itu mengukuhkan usaha peralihan digital SME Bank yang berterusan dalam mempertingkatkan sokongan kepada PMKS di pelbagai peringkat pertumbuhan.
Sehingga kini, lebih 3,000 PMKS telah mendapat manfaat daripada ELSA, sebuah alat penilaian berstruktur berasaskan data yang membantu membimbing PMKS dalam kitaran pembangunan mereka merentasi pelbagai saiz, sektor dan peringkat perniagaan.
Selain itu, ELSA turut meraih pengiktirafan berprestij dalam kategori Pembangunan Teknologi di Anugerah ADFIAP 2025, yang dianjurkan oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (ADFIAP).
Melengkapkan inisiatif tersebut, portal ScoreXcess SME Bank mempermudahkan akses pembiayaan dengan memadankan keperluan perniagaan dengan peluang pembiayaan yang sesuai, manakala platform ODELA mengubah landskap B2B menerusi ekosistem e-dagang yang sistematik dan bermaklumat. - DagangNews.com








