KUALA LUMPUR 8 Feb - Kerajaan tidak mahu dilihat seolah-olah sengaja terburu-buru dalam memuktamadkan segera pengelasan tangga pendapatan yang melibatkan 15 peratus golongan rakyat berpendapatan tinggi atau T15.
Sehubungan itu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Kementerian Ekonomi perlu diberikan waktu cukup untuk dapat mengenal pasti tangga pendapatan yang tepat dan tuntas sebelum boleh diumumkan.
"Kita malahan amat berharap perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat tetapi apa yang penting ialah usaha tersebut perlu dibuat dengan kefahaman dan data cukup tepat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) yang juga disaksikan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif serta dianjurkan oleh CIMB Group Holdings Berhad.
Inisiatif komuniti tersebut melibatkan peruntukan RM3.6 juta yang bakal memberikan manfaat kepada sejumlah 9,000 penduduk dalam kawasan projek perumahan rakyat di Bukit Jalil, Lembah Subang, Seri Selangor dan Seri Alam.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pada masa sama, pihak kerajaan sebenarnya cuba berusaha untuk dapat menawarkan pelbagai jenis bantuan dan subsidi tepat kepada kelompok yang didapati benar-benar layak sahaja.
"Kita tidak mahu buat (pengelasan tangga pendapatan) dengan cepat atau terlalu laju kerana tidak mahu data yang salah. Jadi berilah sedikit masa untuk Kementerian Ekonomi menghabiskan usaha kajian mereka," katanya.
Beliau merujuk kepada Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mengakui kerajaan belum memuktamadkan tangga pendapatan bagi T15 untuk mereka dikecualikan apa-apa subsidi.
Menteri Kewangan itu turut menafikan anggapan ramai kononnya kelompok yang digelarkan sebagai maha kaya tersebut merujuk isi rumah berpendapatan RM12,000 ke atas seperti mana takrifan digunakan pada masa ini.
Justeru Amir Hamzah menambah, kemas kini maklumat yang dibangunkan menerusi Pangkalan Data Utama (Padu) masih berterusan bagi membolehkan pihak Kementerian Ekonomi menetapkan tahap gaji kelompok tertentu.
"Kita kena bagi ruang yang secukupnya kepada kemas kini data dalam Padu dan saya yakin pihak Kementerian Ekonomi memang berusaha gigih memastikan maklumat tepat setiap isi rumah di seluruh negara," jelasnya. - DagangNews.com








