KUALA LUMPUR 19 Ogos – Kerajaan tidak akan melaksanakan projek mega yang memberi impak terhad kepada majoriti rakyat dalam masa terdekat setelah mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut beliau, pendekatan kerajaan ketika ini adalah menyalurkan perbelanjaan kepada program yang benar-benar memberi manfaat langsung kepada kehidupan rakyat, seperti kerja-kerja membaik pulih sekolah serta klinik luar bandar.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, malah turut menjana limpahan ekonomi dan membuka peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Isnin.
Amir Hamzah turut menjelaskan prospek pertumbuhan lebih baik sepanjang RMK13 akan disokong oleh pelaburan awam dengan komitmen sebanyak RM611 bilion.
Jumlah itu merangkumi peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM430 bilion, pelaburan langsung domestik oleh syarikat berkaitan kerajaan serta syarikat pelaburan kerajaan (RM120 bilion), selain pelaksanaan projek perkongsian awam-swasta (RM61 bilion).
“Walaupun ruang fiskal yang diwarisi adalah terhad, kerajaan Madani telah menggunakan sebaik mungkin segala sumber yang ada demi meningkatkan kesejahteraan rakyat, meskipun berdepan dengan keadaan ekonomi global yang semakin mencabar.
“Langkah penambahbaikan tadbir urus turut diperkenalkan bagi memastikan setiap sen hasil yang dikutip dibelanjakan secara berhemah untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia serta mempertingkatkan taraf hidup rakyat,” tambah beliau. - DagangNews.com








