Kerajaan suntik RM65.85 juta tambah baik perkhidmatan BAS.MY Ipoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan suntik RM65.85 juta tambah baik perkhidmatan BAS.MY Ipoh

Perkhidmatan BAS.MY Ipoh kini ditambah baik dengan pelbagai ciri-ciri moden.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 24 Feb - Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) BAS.MY Ipoh yang bermula 2016 disambung hingga 2029 bagi menyediakan sistem pengangkutan awam berkualiti.

 

Ia melibatkan pelaburan sebanyak RM13.17 juta setahun atau RM65.85 juta bagi tempoh 5 tahun.

 

Perkhidmatan bas itu diberi nafas baharu apabila kini ditambah baik dengan pelbagai kemudahan selain mesra warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

 

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, antara penambahbaikan termasuk kamera litar tertutup (CCTV) serta pas perjalanan tanpa had yang lebih menjimatkan kepada orang ramai.

 

Perak
Anthony Loke (tiga dari kanan) bersama Kor Ming (dua dari kiri) dan Saarani (tiga dari kiri) semasa merasmikan Majlis Pelancaran Program SBST BAS.MY Ipoh.

 

“Pelbagai penambahbaikan termasuk jenis bas, tambahan laluan, sistem pembayaran terbuka, kad konsesi dan kad bulanan.

 

"Reka bentuk bas yang ceria berwarna merah jambu diperkenal bagi memudahkan penumpang mengenalinya.

 

“Sebanyak 51 buah bas baharu yang terdiri daripada 14 bas midi dan 37 mini low floor akan digunakan. Ini memudahkan penumpang naik dan turun bas selain mesra OKU,” ujarnya

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program SBST BAS.MY Ipoh di pekarangan bangunan Dewan Bandaran di sini hari ini.

 

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad.

 

Perak

 

BAS MY. Ipoh melibatkan lima kawasan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Majlis Daerah Kampar, Majlis Daerah Batu Gajah dan Majlis Daerah Perak Tengah.

 

Menurut beliau, perkhidmatan bas ini menyediakan banyak pilihan bayaran tambang secara tanpa tunai termasuk kad debit, kad kredit atau e-wallet selain pas bulanan RM50 untuk semua 16 laluan bagi tempoh 30 hari.

 

Kemudahan pas bulanan ini hanya terbuka kepada warga Malaysia sahaja.

 

Tambahnya, Kad Konsesi BAS MY pula menawarkan tambang percuma kepada warga emas berusia 60 dan ke atas, OKU dan pelajar sekolah.

 

“Ia kini diperluaskan kepada golongan mahasiswa universiti, politeknik dan kolej komuniti.

 

Perak

 

"Warganegara yang layak hanya perlu mendaftar sekali sahaja dengan bayaran RM10 bagi menikmati tambang percuma ini,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat mensyaratkan pengendali BAS.MY Ipoh untuk menyediakan perkhidmatan pintu ke pintu secara tempahan untuk pesakit mobiliti terhad seperti pesakit berkerusi roda. 

 

Perkhidmatan dikenali sebagai Bas.My Medik itu bertujuan membawa pesakit untuk rawatan perubatan seperti ke pusat dialisis atau hospital pada kadar berpatutan - DagangNews.com