PUTRAJAYA 30 Jun (Bernama) - Kerajaan sentiasa mengamalkan keterbukaan dan sedia menerima sebarang teguran berhubung sistem percukaian, tetapi ia perlu berlandaskan kepada fakta yang tepat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis perjumpaan bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Anwar berkata sebarang kritikan adalah diterima, tetapi perlu melalui saluran betul serta tidak bersifat fitnah dan berunsur maki hamun.
“Saya lihat ada beberapa mahasiswa mengeluh tentang pelarasan bil elektrik, saya tidak faham.
"Kadar elektrik tak naik, adakah benar dia terkesan. Kalau benar, kita harus betulkan kerana universiti awam dikecualikan...
“Hal-hal ini umpamanya kalau disebar kerana kebebasan, itu akan jadi ruang fitnah, ruang maki hamun.
"Jadi saya harap saudara saudari, adik-adik atau anak-anak, tolong berikan fakta, saya tidak ada masalah orang menegur dan mengkritik,” katanya.
Anwar berkata pelarasan tarif elektrik dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah bagi memastikan golongan mempunyai kemampuan kewangan tinggi boleh menyumbang bahagian yang lebih adil, di samping melindungi sebahagian rakyat daripada tekanan kewangan tidak wajar.
Tiada Campur Tangan Dalam Urusan Badan Kehakiman
Sementara itu, Perdana Menteri berkata beliau tidak campur tangan dalam urusan institusi kehakiman, termasuk soal berhubung pelantikan hakim mahupun sebarang keputusan mahkamah.
Beliau berkata semua pelantikan dan penyambungan jawatan atau lanjutan perkhidmatan, termasuk hakim, perlu mengikut prosedur seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Kalau sudah faham Perlembagaan, sudah tahu proses dia. Ada suruhanjayanya, ada Perdana Menterinya, ada Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau tengok pelantikan-pelantikan baharu, (senarai calon diserahkan kepada) Yang di-Pertuan Agong kemudian dibentangkan untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Jadi semua hal itu harus diikuti,” katanya.
Anwar berkata sebarang pelantikan atau penyambungan jawatan yang dilakukan atas desakan kumpulan tertentu akan mencemari integriti institusi kehakiman.
"Saya rasa apabila institusi seperti ini dipolitikkan, keputusan yang dibuat mencerminkan seolah-olah berlaku pengkhianatan," katanya.
Sementara itu Anwar berkata sebarang keputusan badan kehakiman adalah hak mutlak mereka, dan beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan kehakiman.
“Isu yang dibangkitkan saya dengar… Saya tidak pernah campur dalam isu penghakiman. Apa yang diputuskan (mahkamah) itu keputusan mereka, tetapi itu pun dipolitikkan," katanya.
Anwar turut menegur kecenderungan masyarakat untuk menilai keputusan kehakiman mengikut kecenderungan politik masing-masing.
Beliau merujuk kepada beberapa kes berprofil tinggi baru-baru ini, termasuk keputusan berhubung kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Kita kena hormat hakim dan keputusan yang dibuat. Saya tengok ada pandangan berbeza. Ada orang sokong DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) di sini, tetapi tidak sokong di sana (bagi kes berlainan).
“Kita tidak boleh begitu. Jadi harus ingat kita kena pertahankan (integriti badan kehakiman), bukan ikut selera politik," katanya.
Pada 20 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Najib daripada tiga pertuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.
Hakim K.Muniandy membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melepas tanpa membebaskan Najib selepas mendapati pihak pendakwaan belum bersedia meneruskan perbicaraan yang tertangguh sejak 2019.
Pada 25 Jun pula, Mahkamah Rayuan Putrajaya membebas dan melepaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah (CBT), salah guna harta serta pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Nov 2023. - BERNAMA








