PUTRAJAYA 11 Mei - Kerajaan sedang meneliti ambang pendapatan bagi penyasaran semula subsidi bahan api untuk memastikan golongan rentan tidak terkesan secara mendadak apabila mekanisme baharu dilaksanakan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penentuan garis pemisah antara kumpulan yang layak menerima subsidi dan yang akan dikecualikan merupakan antara cabaran utama dalam pelaksanaan dasar berkenaan.
“Kita tidak mahu menyebabkan kejutan besar kepada kumpulan yang masih memerlukan sokongan atau mereka yang belum bersedia untuk beralih kepada sistem baharu.
“Itulah inti perbincangan kita dalam menentukan garis pemisah yang tepat antara mereka yang benar-benar layak menerima subsidi dan mereka yang perlu dikeluarkan daripada sistem,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Beliau berkata perkara itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) baru-baru ini, dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan kerajaan untuk melaksanakan pendekatan bersasar yang lebih seimbang.
Menurutnya, kerajaan kini sedang beralih daripada subsidi pukal kepada pendekatan berasaskan keperluan dan penggunaan bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan.
“Perincian sedang diteliti oleh jawatankuasa pengurusan krisis,” katanya.
Akmal berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan kelestarian fiskal negara sambil mengekalkan perlindungan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Jika subsidi berskala besar ini tidak diurus dengan baik, ia akan memberi implikasi negatif kepada kewangan negara. Kita perlu menyeimbangkan antara perlindungan rakyat, kawalan inflasi dan keperluan pembangunan negara,” jelasnya.
Beliau menambah, kerajaan komited memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan aktiviti ekonomi terus berkembang supaya manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat.
Sementara itu, Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan Putrajaya akan memuktamadkan pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api, khususnya bagi kumpulan berpendapatan tinggi, dalam masa terdekat.
Beliau berkata kertas cadangan berhubung perkara itu yang disediakan oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis di bawah MTEN telah dibentangkan sejak sebulan lalu. - DagangNews.com








