KUALA LUMPUR 31 Jan - Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk pembesaran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di Ipoh.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia adalah hadiah khas Tahun Baharu Cina untuk rakyat Perak daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Projek ini akan dibahagikan kepada dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan peruntukan sebanyak RM8 juta dan fasa kedua sebanyak RM52 juta.
"Majlis Bandaraya Ipoh juga akan menyediakan RM4 juta lagi untuk membesarkan laluan masuk dan keluar di lapangan terbang itu," katanya seperti laporan Malay Mail.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Weil Hotel di Ipoh.
Beliau berkata, projek pembesaran itu diperlukan kerana kapasiti lapangan terbang hanya mampu menampung 500,000 penumpang, kurang berbanding jumlah penumpang sebanyak 512,000 pada 2024.
"Dengan pelan pembesaran ini, lapangan terbang ini akan mampu menampung sehingga 700,000 penumpang," tambahnya.
Kor Ming menambah, sebidang kawasan seluas 10.52 hektar tanah di sebelah lapangan terbang juga akan dibangunkan untuk bahagian kargo.
"Projek pembesaran dan kargo ini akan mengukuhkan kedudukan Perak, membolehkan produk bernilai tinggi dieksport melalui lapangan terbang ke negara seperti Singapura dan Thailand," katanya.
Beliau turut memberi jaminan, pembesaran berkenaan tidak akan menjejaskan kawasan perumahan sedia ada di sekitar lapangan terbang.
"Pelan terkini fokus kepada pembesaran terminal dan kami tidak menjangka kawasan perumahan akan terjejas. Malaysia Airports Holdings Berhad telah melakukan analisis mereka," katanya.
Jelas beliau, projek itu akan dipercepatkan kerana rakyat Perak telah lama menantikan naik taraf lapangan terbang berkenaan.
"Kami juga akan meneroka laluan penerbangan baharu seperti Bangkok-Ipoh, Jakarta-Ipoh dan Hong Kong-Ipoh selepas pembesaran ini," katanya. - DagangNews.com








