Kerajaan komited pertahan tanah rizab Melayu dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar, tidak timbul isu pemilik asal diusir - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan komited pertahan tanah rizab Melayu dalam RUU Pembaharuan Semula Bandar, tidak timbul isu pemilik asal diusir - PM Anwar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Feb — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen pentadbirannya terhadap polisi pembaharuan bandar, walaupun terdapat kontroversi dan penentangan yang berterusan, khususnya mengenai isu pewartaan tanah rizab Melayu.
 

Semasa sesi Waktu Soal Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, meskipun mendapat kritikan teruk, namun tiada pentadbiran terdahulu termasuk Perikatan Nasional (PN) mengisytiharkan tanah rizab Melayu di Bandar Seri Malaysia.
 

“Kami (kerajaan) telah membuat keputusan untuk tetap meneruskan Rang Undang-Undang Pembaharuan Bandar, walaupun ada timbul kontroversi dan tuduhan tertentu termasuk kebimbangan segelintir pihak kononnya akan berlaku kehilangan tanah rizab Melayu.
 

“Saya juga ingin menegaskan, buat pertama kali dalam sejarah sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957, bahawa kerajaan ini telah mengisytiharkan 50 ekar (kira-kira 20 hektar) Bandar Seri Malaysia di ibu negara sebagai tanah rizab Melayu.
 

“Pada pandangan saya, perkara ini tidak perlu diheboh-hebohkan kerana belum pernah langsung ada lagi kerajaan yang terdahulu termasuk dari PN berani mengisytiharkan mana-mana kawasan di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu,” tegas beliau lagi.
 

Anwar (PH-Tambun) turut mengulangi kenyataan bahawa Rang Undang-undang Pembaharuan Bandar yang dibangunkan selama lebih 10 tahun, tidak pernah ada cadangan kononnya pemilik asal akan boleh diusir secara paksa dari tanah atau premis mereka.
 

Status tanah asal, sama ada tanah rizab Melayu atau mana-mana klasifikasi sedia ada, akan kekal tidak berubah malah ujarnya, garis panduan pembaharuan bandar telah dibuat sejak 2012 sebelum diperhalusi pada 2013, manakala penggubalan rang pula pada 2015.
 

"Pada 2020, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengetuai program pembaharuan bandar, beri tumpuan skim berusia lebih 40 tahun. Pada 2021, Menteri Perumahan ketika itu, Datuk Zuraida Kamaruddin memulakan penggubalan rang undang-undang, sebelum diteruskan penggantinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
 

“Menjelang September 2022, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim juga mengumumkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembangunan semula, justeru kebimbangan bahawa rang disegerakan adalah tidak berasas,” tambahnya.
 

Anwar menjawab Tan Kar Hing (PH-Gopeng), yang membangkitkan kebimbangan mengenai komitmen kerajaan untuk memastikan tiada sesiapa pun, tanpa mengira kaum, akan diusir secara paksa, seperti yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
 

Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa sejak 2012, sebanyak 74 sesi libat urus telah diadakan di seluruh negara untuk mengambil kira segala kebimbangan rakyat.
 

"Sebagai contoh, apabila saya melawat Flat Sri Perlis - salah satu kawasan perumahan tertua dengan unit bilik tunggal yang uzur teruk - adalah jelas bahawa tindakan diperlukan. Memandangkan kerajaan memberi tumpuan kepada projek perumahan baharu, kita tidak boleh mengabaikan bangunan yang usang ini.
 

"Rundingan mesti ada, tetapi dalam beberapa kes, seperti projek perumahan di Jalan Tun Razak, hampir semua orang bersetuju kecuali seorang individu, menyebabkan projek terbantut. Adakah kita mampu untuk membiarkan keseluruhan projek terjejas hanya kerana bantahan daripada seorang sahaja?"
 

Berikutan itu, Anwar berkata bahawa ambang konsensus telah ditetapkan semula, yang memerlukan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk bersetuju sebelum rundingan boleh dimulakan untuk bangunan berusia bawah 30 tahun.
 

Bagi bangunan yang berusia lebih 30 tahun, ambang ditetapkan adalah 75 peratus, dan untuk perumahan terbiar atau terbengkalai, cuma majoriti mudah sebanyak 51 peratus diperlukan.
 

"Ambang itu perlu untuk menggerakkan projek ke hadapan, seperti di Jalan Tun Razak, apabila keengganan seseorang telah melambatkan keseluruhan pembangunan semula. Pertikaian boleh dibawa ke mahkamah, dan selepas lima tahun, pemilik tanah akan diberikan pampasan berdasarkan nilai pasaran semasa, bukan angka lapuk.
 

"Ini bermakna pemilik tanah akan menerima penilaian semasa, yang berpotensi meningkatkan nilai hartanah daripada RM70,000 kepada RM200,000," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed (PN-Kuala Terengganu), yang mempersoalkan ambang konsensus dan ketiadaan sebutan mengenai penurunannya oleh menteri terbabit.
 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan bahawa isu pemilikan tanah negeri tidak akan terjejas malah Jawatankuasa Eksekutif Perumahan tidak pun bertindak mengambil alih langsung peranan dilaksanakan oleh kerajaan negeri selama ini.
 

"Walaupun rang undang-undang itu masih belum dibentangkan, saya beri jaminan bahawa prinsipnya sejajar dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Dalam penggubalan undang-undang, kita tidak terlepas pandang prinsip undang-undang sedia ada," katanya. - DagangNews.com