KUALA LUMPUR 17 April - Kerajaan kekal komited memperkukuh agenda memperkasa usahawan Bumiputera sebagai penyumbang ekonomi yang produktif dan berdaya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, melalui pengukuhan Komuniti Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (BCIC), kerajaan menetapkan sasaran lebih tinggi termasuk peningkatan pelaburan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga RM2 bilion.
Selain itu, kerajaan turut menyasarkan sekurang-kurangnya 10 penyenaraian awam baharu serta melahirkan lebih ramai juara Bumiputera dengan nilai syarikat mencecah RM500 juta dalam tempoh lima tahun.
“Ini bukan sekadar angka tetapi simbol iltizam untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Bumiputera ke tahap lebih mampan dan berdaya saing,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Menurut Anwar, pendekatan strategik itu merangkumi usaha memperkukuh perusahaan sedia ada serta membuka ruang penyertaan dalam sektor pertumbuhan baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi tinggi.
Beliau berkata kejayaan beberapa jenama tempatan membuktikan keberkesanan ekosistem yang menyokong pembangunan usahawan, antaranya SERAI dan GlocAI yang menunjukkan potensi Bumiputera bersaing dalam ekonomi moden.
Dalam masa yang sama, akses kepada pembiayaan, perolehan kerajaan, serta peluang komersial terus diperluas sebagaimana yang dinikmati oleh syarikat seperti Bateriku, Hanan Medicare, Bluesify, Pak Tam dan Meraque yang menjadi bukti bahawa tata laksana yang inklusif mampu melahirkan legasi keusahawanan yang mampan.
Justeru katanya, sesi meja bulat ini bukan sekadar penyuguhan idea, tetapi medan penting untuk melarai kekangan dan merungkai tantangan yang masih membelenggu usahawan Bumiputera.
"Kerajaan mendengar, menilai, dan akan terus memperhalusi pendekatan sedia ada agar setiap dasar yang digerakkan benar-benar mencerminkan realiti di lapangan.
"Walhasil, dengan iltizam kolektif serta kepemimpinan yang berprinsip, kita yakin bahawa agenda keusahawanan Bumiputera akan terus berkembang, bukan sahaja sebagai tonggak ekonomi negara, tetapi sebagai manifestasi keadilan sosial yang menjadi teras kepada gagasan yang madani," katanya. - DagangNews.com








