Kerajaan kaji kebolehlaksanaan Peguam Negara, Pendakwa Raya lapor terus kepada Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji kebolehlaksanaan Peguam Negara, Pendakwa Raya lapor terus kepada Parlimen

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 10 Feb - Kerajaan sedang mengkaji kebolehlaksanaan menjadikan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya melapor terus kepada Parlimen, selaras dengan usaha memisahkan kedua-dua peranan tersebut, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, perkara ini merupakan isu dasar yang memerlukan pertimbangan rapi serta kajian menyeluruh dari segi implikasi undang-undang, struktur institusi dan tadbir urus.

 

“Oleh itu, perkara ini antara elemen yang sedang dikaji oleh Pasukan Petugas Khas Teknikal,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.

 

Azalina menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai status terkini usaha kerajaan untuk memisahkan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta sama ada terdapat cadangan untuk menjadikan kedua-dua jawatan itu menjawab kepada Parlimen bagi memastikan ketelusan proses pendakwaan pada masa hadapan.

 

Beliau juga memaklumkan bahawa Pejabat Peguam Negara sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan mengenai pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang akan dibentangkan mengikut jadual yang ditetapkan.

 

Menurutnya, kerajaan akan bermula dengan membentangkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan, diikuti Rang Undang-Undang Omnibus bagi meminda 19 undang-undang berkaitan, serta Rang Undang-Undang Remunerasi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

 

Berdasarkan arahan dan mandat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ucapan Tahun Baru 2026 pada 5 Jan, Azalina berkata Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan pada Mesyuarat Pertama Persidangan Kelima Parlimen ke-15, semasa sesi ini.

 

Selain itu, Azalina menegaskan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri komited terhadap usaha reformasi undang-undang dan institusi melalui pelancaran Kerangka Akauntabiliti Malaysia (KAM) pada 13 Jan.

 

Menurutnya, KAM merangkumi semua usaha reformasi undang-undang dan institusi, termasuk cadangan pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, yang akan dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini. - DagangNews.com