Keputusan kewangan KPJ Healthcare bagi FY25 atasi jangkaan dipacu kes berintensiti tinggi, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Keputusan kewangan KPJ Healthcare bagi FY25 atasi jangkaan dipacu kes berintensiti tinggi, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Feb – Prestasi kukuh KPJ Healthcare Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) mengatasi jangkaan pasaran, didorong peningkatan kes berintensiti tinggi.


Menurut penganalisis, perkembangan menggalakkan tersebut turut disokong pemulihan aliran pesakit dijamin insurans, sekali gus memperkukuh prospek pertumbuhan kumpulan bagi FY26 dan seterusnya.

 

 

 

 

 


Dua firma penyelidikan mengekalkan pandangan positif terhadap pengendali hospital swasta itu, dengan semakan naik unjuran hasil dan harga sasaran (TP), susulan momentum operasi semakin stabil.


Maybank Investment Bank (Maybank IB) tidak mengubah saranan 'beli' dengan TP berasaskan jumlah bahagian (SOTP) lebih tinggi pada RM3.26, dinaikkan 26 sen, bersamaan 13 kali unjuran nilai FY26.


"Untung bersih teras 4QFY25, selepas ditolak keuntungan sekali beri daripada urus niaga jual dan pajak semula serta pengubahsuaian pajakan, mencecah RM121 juta," katanya dalam nota hari ini.


Angka ini meningkat 3% tahun ke tahun (YoY) atau 32% suku ke suku (QoQ), menjadikan keuntungan bersih FY25 kepada RM365 juta, bersamaan 116% dan 108% daripada unjuran mereka dan konsensus.


Menurut Maybank IB, prestasi lebih kukuh itu didorong oleh penyambungan semula prosedur elektif selepas kelembapan musim perayaan pada 1H25, serta peningkatan kes kompleks yang dikendalikan.


Firma itu menambah, pemulihan aliran pesakit berinsurans selepas rundingan industri memuktamadkan pelaksanaan produk Takaful dan Insurans Kesihatan Malaysia (MHIT) pada 2H25 juga membantu KPJ.


"Dari sudut prospek, kami melihat pelaksanaan produk asas MHIT pada 2H26 sebagai pemangkin baharu yang berpotensi memperluas akses pesakit berinsurans dan meningkatkan jumlah kemasukan," katanya. 


Sehubungan itu, Maybank IB menaikkan unjuran keuntungan bersih kumpulan tersebut bagi FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 5% dan 10%, dengan jangkaan pertumbuhan disokong oleh pelbagai faktor.


Antaranya jelas firma tersebut, peningkatan kapasiti hospital baharu dalam fasa awal operasi, kadar intensiti hasil tinggi selari kadar FY25 serta sumbangan berterusan pelancongan perubatan.


Artikel berkaitan: KPJ Healthcare catat peningkatan 10 peratus PATAMI bagi FY25 kepada RM366 juta


Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' tetapi menaikkan TP kepada RM2.92 daripada RM2.76, selepas keuntungan KPJ pada FY25 melepasi jangkaan mereka sendiri sebanyak 11%.


"Operasi Malaysia kekal menjadi tunjang utama dengan hasil FY25 meningkat 9% kepada RM4.2 bilion, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) pula melonjak kira-kira 42% kepada RM391 juta," katanya.


Prospek pada FY26 jelas firma tersebut, adalah kekal positif dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia sekitar 4.5%, yang mampu menyokong trend permintaan perkhidmatan kesihatan swasta.


KPJ juga tambah MBSB Research, dijangka terus menumpukan kepada usaha pengoptimuman asetnya dan pengurusan kos bagi mengekang inflasi perubatan tanpa perlu menjejaskan margin kumpulan berkenaan.


Penangguhan pelaksanaan sistem pengelasan kes mengikut kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) turut mengurangkan risiko margin jangka pendek dan memberi ruang kepada syarikat memperkemas peralihan.


"Bagaimanapun, penambahan katil baharu untuk fasa gestasi mungkin memberi tekanan sementara kepada pendapatan dalam tempoh antara satu hingga tiga tahun pertama operasi awal," kata MBSB Research.


Justeru, ia menyemak naik unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 antara 6% hingga 13% serta menilai saham pada nisbah harga kepada perolehan (PER) sebanyak 31.7 kali, sedikit melebihi purata sektor.

 

 

 

 


Secara keseluruhan, firma itu melihat trajektori pertumbuhan KPJ kekal kukuh dengan peningkatan kompleksiti kes, pemulihan pesakit dengan insurans dan perluasan kapasiti sebagai pemacu utama.


Selain itu, potensi MHIT yang membuka pasaran pesakit lebih luas serta strategi beralih kepada kes berintensiti tinggi, KPJ dilihat berada pada landasan pertumbuhan lebih mampan. - DagangNews.com