Kenderaan e-hailing kini boleh perbaharui LKM bagi tempoh minimum sebulan - MOT  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenderaan e-hailing kini boleh perbaharui LKM bagi tempoh minimum sebulan - MOT 

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jan - Bermula hari ini kenderaan e-hailing boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tempoh minimum sebulan di bawah penyelarasan baharu oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

MOT dalam makluman menerusi Facebook hari ini berkata pemilik kenderaan e-hailing sebelum ini menghadapi kesukaran memperbaharui LKM jika tempoh sah permit kenderaan (eVP) kurang dari enam bulan.

 

Dengan penetapan baharu itu pemilik kenderaan e-hailing kini dibenarkan memperbaharui LKM untuk tempoh yang lebih fleksibel, iaitu minimum satu bulan dan maksimum 12 bulan.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun pembaharuan itu masih tertakluk kepada tempoh sah eVP, laporan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) dan perlindungan insurans yang masih berkuat kuasa.

 

Dari segi kadar bayaran, kenyataan itu berkata kadar fi terkumpul bagi tempoh pembaharuan antara satu hingga lima bulan tidak akan melebihi kadar fi LKM enam bulan.

 

Mengambil contoh kenderaan dengan kuasa 1201 cc hingga 1400 cc dengan kod kegunaan asal 'AB", kadar bayaran LKM untuk 12 bulan ialah RM70 dan RM35 (6 bulan).

 

"Untuk tempoh 1 bulan, kadar bayaran ialah RM6.80, RM11.70 (2 bulan) dan RM17.50 (3 bulan)," kata kenyataan itu.

 

 

 

 

 

“Langkah ini memberi kemudahan kepada pengusaha epanggilan sekali gus memastikan pematuhan peraturan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

 

“Inisiatif ini selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menekankan kecekapan serta kesejahteraan untuk semua,” menurut hantaran itu. - DagangNews.com

 

grab1grab2